13 November 2020

"RAMAI DENGKI..." - ABBY ABADI BERANG DITUDUH KAYA SEBAB JUAL BAYI



"Alahai... boring sangat ke tak ada cerita panas tentang saya? Cerita tentang bantuan untuk selamatkan bayi-bayi tak berdosa ni pun nak berburuk sangka ke? Kenapa orang kita suka dengki dan busuk hati ya, seronok ke sebar fitnah.

"Ada yang tuduh saya kaya sebab jual baby. Ya Allah! Berat tuduhan tu... bila nak minta maaf tu? Tak nampak ke saya dengan suami berkerja berniaga macam-macam, ke sana-sini join event, berniaga dah macam peniaga pasar malam, setiap bulan terkejar nak bayar itu dan ini.

"Saya cari rezeki nak bagi makan anak-anak, nak bayar bil lagi.. celah mana entah dorang menilai saya kaya... ikut sedap tekak je buat fitnah. Tak takut mati ke ni? Penat nak menjawab fitnah-fitnah macam ni.

"Cukuplah menfitnah saya tak larat nak cerita semua benda. Lepas ni saya tolong dari jauh je ya sebab ramai yang dengki dorang nampak saya macam jalan-jalan semasa PKPB ni padahal saya berurusan dengan pihak berkuasa juga," demikian kata pelakon Abby Abadi.

Menurut Abby, dia dan suami iaitu Muhammad Faizal Zakaria tidak terbabit dengan aktiviti tidak bermoral itu dan hanya membantu menguruskan bayi kurang bernasib baik diasuh oleh keluarga angkat.

Klik untuk gambar besar



"Kalau siapa yang mengikuti dari awal saya beritahu yang saya terlibat buat kerja ni cara tak sengaja... selepas saya ambil Daiyan, ramai yang nak serahkan baby pada saya lagi. Macam-macam latar belakang, saya bincang dengan suami dan kami sepakat, okaylah ambil sorang lagi perempuan iaitu Dayana.

"Selepas Dayana saya dah tak mahu dah. Saya uruskan untuk orang lain sebab baby yang saya uruskan tu semua maknya cari saya untuk dibantu dan saya bantu semampu saya, kebanyakan dalam kesusahan, tiada duit langsung," demikian kata pelakon Abby Abadi.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 42, meluahkan rasa berang di laman Instagram miliknya apabila ada individu cuba menabur fitnah dengan mendakwa dia mengaut keuntungan daripada perniagaan menjual bayi menerusi sebuah forum bincang di Internet.

Bekas anggota kumpulan Elite ini tidak sangka usaha murninya menjadi perantara urusan menyerahkan bayi untuk dijadikan anak angkat menimbulkan rasa tidak puas hati segelintir pihak.

Pelakon siri 'Gerak Khas' itu juga menjelaskan mengenai dakwaan bahawa dia mengenakan bayaran dalam urusan pengambilan anak angkat itu bagi mengaut keuntungan sendiri.



Abby memberitahu dia hanya menjadi perantara dan membantu keluarga angkat mendapatkan bayi yang perlu dilindungi tanpa mengambil sebarang keuntungan daripada mana-mana pihak.

Malah, sejumlah wang yang diminta daripada keluarga angkat bertujuan untuk membayar kos bersalin dan hospital yang ditanggung oleh ibu bayi berkenaan.

"Lepas itu ada yang komen kata syarat nak ambil anak tiada yang percuma... bersalin sendiri pun ada kos, kos untuk mak baby la. Dia orang bersalin tu ingat main-main ke? Normal lain, swasta lain... berpantang lagi.

"RM5,000 sehingga RM15,000, memang ada bil tinggi macam itu, sebab itu saya cari yang mampu. Sejak dari awal saya memang jadi perantara dan duit tak lalu dekat saya... saya kenalkan sahaja dan terus mak bapa angkat berurusan sendiri. Jadi bilanya saya jual baby ini?


"Tengok contoh bil swasta yang saya bayar untuk ambil Darda (anak angkat ketiga)... mahal sungguh kan? Tapi tak apalah... sebab bil hospital itu tinggi semua tak nak, dapatlah pada saya. Rezeki sungguh sebab bertuah sangat anak ini, sangat membahagiakan kami... comel, baik dan bijak!" ujarnya.

Abby berharap pihak tertentu berhenti menyebar fitnah niatnya membantu dalam urusan mengenai pengambilan anak angkat adalah ikhlas.

"Penat nak menjawab fitnah begini. Saya tolong setakat yang mampu dan beruntung ada suami yang sangat rajin membantu dan sangat menyokong. Cukuplah memfitnah.

Untuk makluman, Abby berkahwin dengan Muhammad Faizal pada 14 Ogos 2015. Pasangan ini dikurniakan seorang anak, Muhammmad Danial Firman yang dilahirkan secara pra-matang namun meninggal dunia selepas 70 hari dirawat di wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh pada Disember tahun lalu.

Abby turut memelihara tiga anak angkat sejak kecil iaitu Muhammad Daiyan Fayyad, Maisara Dayana Fathia dan Maira Darda Farisa. Menerusi perkahwinan terdahulu bersama Norman Hakim, Abby mempunyai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim, 17, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisah Hakim, 11.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, mStar & Instagram Abby Abadi

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: