28 November 2020

"SAYA BERISIKO TINGGI UNTUK MENINGGAL DUNIA SECARA MENGEJUT" - BOB LOKMAN



Pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman yang kini sedang bergelut dengan penyakit jantung yang dialami sejak tahun 1988 itu memberitahu yang doktor memaklumkan bahawa dalam tempoh sebulan ini, tidak mustahil jika dia meninggal dunia secara mengejut.

Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 56, ini turut mengambil kesempatan ketika ditemui media dengan memohon maaf kepada semua pihak sekiranya ada kata-kata atau perbuatannya pada ketika dahulu dan kini mengguris hati.

"Doktor maklumkan dalam tempoh sebulan ini, tak mustahil jika saya meninggal dunia secara mengejut. Doktor maklumkan, saya berisiko tinggi untuk meninggal dunia secara mengejut. Itu berdasarkan ilmu kedoktoran, namun saya serahkan soal ajal kepada Allah.

"Kepada yang mengenali saya atau tidak, saya banyak dosa. Maafkan sekiranya ada yang terguris dengan kesombongan saya, tutur kata, atau lawak jenaka saya yang keterlaluan ketika saya muncul di kaca TV," katanya.

Klik untuk gambar besar



Bob difahamkan baru sahaja keluar daripada hospital setelah ditahan selama 2 hari akibat masalah jantung. Menceritakan keadaan ketika dibawa ke hospital, Bob mengatakan jantungnya berdegup kencang ketika mengambil wuduk dan kemudiannya pitam. Dadanya kemudian sakit sehingga ke belakang badan sebelum memanggil sepupunya untuk membawa dia ke hospital berdekatan.

"Saya mengalami masalah jantung sejak 1998. Rabu lalu, kali pertama saya berdepan situasi di mana jantung saya berdegup kencang. Ketika saya nak ambil wuduk, tiba-tiba saya pitam sekejap kerana oksigen tak sampai ke otak. Apabila saya tersedar sekejap, saya macam lupa apa yang saya sedang buat.

"Jadi, apabila dada saya mula sakit sampai ke bahagian belakang, saya minta sepupu saya hantarkan saya ke bahagian kecemasan di Hospital Univers Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, tak jauh dari rumah," tuturnya yang kini berada di Kelantan.

Katanya, selepas dirawat doktor memaklumkan jantungnya semakin membengkak dan banyak parut. Ia membuatkan kadar denyutannya tak stabil. Namun, kos untuk pemasangan alatan itu dan juga kos rawatan mencecah RM60,000 sekali gus memaksa Bob dan keluarga memohon bantuan.


"Satu cara adalah untuk memasang alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantung. Selama ini, kos untuk ubat-ubatan saya setiap bulan mencecah RM700 sebulan.

"Itu tak menjadi masalah kerana saya masih lagi mampu untuk menanggung kos itu. Cuma apabila dimaklumkan kos rawatan dan pemasangan alat IACD ini mencecah RM60,000, saya akui memang tak mampu. Jadi, saya mohon kalau ada yang sudi membantu untuk menderma.

"Terima kasih juga kepada pihak Muslim Care Malaysia yang sudi membantu. Alhamdulillah, ada juga rakan-rakan penderma yang sebelum ini pernah menderma untuk surau dan sekolah tahfiz yang saya bantu, kini membantu saya pula," ujarnya.

Ahad ini, Bob akan menjalani ujian darah dan perlu melaksanan rawatan pemasangan IACD dalam masa sebulan. Bagi sesiapa yang ingin menderma, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank bernombor 162348359386 atas nama Relawati Daud (isteri Bob) atau akaun Maybank bernombor 564490211159 atas nama Muslim Care Malaysia.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: