03 November 2020

"SAYA MOHON FINAS TIDAK BERAT SEBELAH" - AYU PUTEH LUAH KECEWA



"Tiada khabar berita mengenai filem saya. Saya lawan seorang saja selama ini. Saman pun guna wang sendiri. Saya naik turun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bertemu pegawainya pun tiada jalan penyelesaian untuk masalah ini.

"Jawapan yang sama 'Dah pergi siasat..tapi tempat itu tiada orang... Alamat itu tipu' Ini sahajakah caranya? Dalam kes sebegini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) buat apa? Polis pun sudah bagi surat ke SKMM. KPDNHEP pun satu pasukan dengan SKMM. Apakah di sebalik tugas ini sebenarnya. Tak selesai juga.

"Sebelum ini Finas beritahu saya boleh saman platform e-dagang itu kerana tiada lesen untuk menjual filem, malah kes saya ini juga sudah tular tapi tiada tindakan. Tak tahu nak mengadu dengan siapa lagi. Tiada siapa mahu bela nasib penerbit tempatan yang bertungkus-lumus buat kerja," kata pemilik syarikat produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd, Datuk Ayu Puteh.

Ayu mendakwa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berat sebelah dalam menangani kegiatan pengedaran filem melalui platform media sosial dan laman sesawang tanpa lesen pengedaran yang sah apabila tiada sebarang tidakan susulan terhadap filem terbitannya, Ada Apa Dengan Dosa (AADD) yang turut dijual secara haram di platform digital.

Ayu ketika dihubungi berkata, dia juga kecewa kerana Finas dilihat memilih syarikat produksi apabila membantu penerbit filem 'Mael Totey The Movie' yang turut menerima nasib sama dengannya. Menurut Ayu, sekiranya Finas masih terus berdiam diri dan tidak mencari penyelesaian, sudah tentu lanun digital akan terus bermaharajalela.

Klik untuk gambar besar



"Apa kesudahan nasib saya dan filem-filem yang bakal keluar nanti? Saya tak faham kenapa filem Mail Totey The Totey cepat betul nak bantu ambil tindakan, tapi filem saya? Saya mohon Finas tidak berat sebelah.

"Kasihanilah penerbit-penerbit yang sudah lama berjuang untuk memartabatkan industri perfileman tempatan. Selama ini, saya memberikan sepenuh sokongan kepada Finas. Namun bukan ini yang saya harapkan. Saya harapkan satu tindakan yang serius diambil," ujarnya.

Menurut Ayu, dia terpaksa bersuara lantang kerana mahu nasib industri filem terus dibela pihak bertanggungjawab: "Kalau cakap banyak nanti kita mungkin susah nak minta bantuan apa-apa. Mungkin mohon Dana pun tak di bagi peluang. Disebabkan itu ada penerbit yang berdiam diri saja kerana takut. Adil kah?," katanya.

Sebelum ini, Ayu bakal menyaman pihak e-dagang terkenal sebanyak RM50 juta, susulan pihak terbabit didapati menjual filem AADD terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd secara haram di platform berkenaan.

Filem AADD yang dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang berkenaan.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: