30 November 2020

USTAZ EBIT LEW DATANG MENZIARAH - BOB LOKMAN SEBAK, MOHON MAAF PADA SEMUA



Bila terdengar sahaja sesiapa yang di dalam kesusahan, pendakwah Ustaz Ebit Lew dengan sepantas akan muncul menghulurkan bantuan. Tidak kira jauh atau dekat, seikhlas hati dia akan hadir.

Tidak pernah merungut mahupun mengungkit, tidak pernah lelah dan tidak pernah mengira agama atau keturunan, dia akan membantu semampunya.

Terbaru, Ustaz Ebit Lew menerusi satu muat naik di laman Instagram telah berkongsi rasa hati dengan pertemuannya bersama Bob Lokman atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 56, seorang bekas pelakon, pengacara, pelawak dan penulis lirik di Pasir Mas, Kelantan.

Kisah kesusahan ditanggung penulis lirik lagu 'Isabella' yang memerlukan bantuan untuk kos rawatan dan pemasangan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew.

Klik untuk gambar besar



Melihat pada video yang dikongsikan, sebaik sahaja mengetahui berita tersebut, Ustaz Ebit Lew dilihat bergegas terbang ke Kelantan dari pembukaan pasaraya Elewmart miliknya untuk menziarahi Bob Lokman yang kini sedang sakit dan memerlukan rawatan dengan segera.

"Ustaz tolong sangat sampaikan pada semua andai saya pergi, saya nak minta maaf pada semua ya. Saya sayang semua orang. Saya nak redha Allah," kata-kata Bob Lokman yang menyentuh hati Ustaz Ebit Lew pada Ahad.

Menurut Ebit, Bob menitiskan air mata kerana terharu dengan kunjungan dan bantuan dihulurkan pendakwah itu untuk pembedahan jantung yang perlu dilakukan pada Isnin.

"Sayu rasa hati tadi dari pembukaan Elewsmart terus fly ke Pasir Mas, Kelantan ziarah Bob Lokman. Penulis lirik lagu Isabella. Saya balik petang ini juga. Pergi balik hari.



"Bila terbaca beliau memerlukan belanja untuk pembedahan jantung esok (Isnin). Kata bob, dia terharu saya datang jumpanya. Katanya, beliau fikirkan juga anak-anak kecil yang masih madrasah.

"Tadi banyak berbual mengenai akhirat dan katanya teruskanlah ustaz membantu orang ramai. Bila beri sedikit belanja untuknya, Bob Lokman menangis saja tadi," tulis Ustaz Ebit Lew.

Sebelum ini, Konsortium Irama (IRAMA) dengan kerjasama Bapakku FM dan Islamictune mewujudkan Tabung Bantuan Untuk Bob Lokman yang mengidap sakit jantung.

Pengerusi IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, tabung itu bertujuan membantu kos perubatan Bob serta membeli alat kawal degupan jantung yang diperlukannya.



Bob yang baru dibenarkan keluar hospital pada Jumaat lalu akibat masalah jantung terpaksa memohon bantuan dari segi kos rawatan dan pemasangan alat IACD yang mencecah RM60,000.

Dalam pada itu, Ebit turut berkongsi perbualannya bersama Bob Lokman yang ingin terus menyampaikan dakwah kepada masyarakat sekiranya dipanjangkan usia.

"Segala ilmu, dakwah dan kebaikan abang Bob Lokman selama ini Allah balas. Insya-Allah panjang umur selamat semuanya, dia akan terus menyampaikan dakwah pada masyarakat," ujarnya.

Pada Januari lalu, Bob dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh akibat masalah buah pinggang. Bob juga pernah dimasukkan ke hospital yang sama pada 2015 dan kali terakhir pada Januari 2018 akibat masalah jantung bengkak serta paru-paru berair.






www.myartis.com / Sumber & foto: mStar, Astro Gempak & Instagram Ustaz Ebit Lew

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: