28 February 2021

RAJA ILYA NAFI DAKWAAN IKUT BUDAYA BARAT, AKUI IA SUDAH SEBATI SEJAK KECIL



Pelakon Raja Ilya nampaknya tidak terlepas daripada kontroversi, meskipun kini menetap di Perth Australia selepas mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan warga Australia, Trent Garrett pada 23 Disember 2018.

Sebelum ini, Ilya dikecam apabila membuat perbandingan majlis kahwin di Malaysia dan Australia ketika pandemik Covid-19. Bukan itu sahaja, malah Ilya juga dikatakan semakin seksi sehinggakan ada yang melemparkan tanggapan pelakon itu selesa berpakaian mencolok mata selepas terikut-ikut dengan gaya barat memandangkan suaminya berbangsa asing.

Ilya bagaimanapun tampil membidas tanggapan netizen dengan mengatakan dia memang sudah lama suka berpakaian menunjukkan bentuk badan dan singkat sejak mula berlakon lagi.

"Kalau terdesak namanya melacur diri dan lebih baik berbogel. Bagi saya, seksi sangat subjektif. Saya suka berpakaian menunjukkan bentuk badan dan singkat sejak awal menceburi bidang lakonan.

Klik untuk gambar besar



"Istilah seksi pemahaman sangat luas. Ada berpakaian sopan, tetapi tetap nampak seksi daripada pandangan mata seseorang. Seksi tidak terbatas kepada konsep mendedahkan kulit atau berpakaian sendat sahaja," katanya.

Ilya turut menafikan dakwaan netizen kononnya dia terikut-ikut budaya barat dan memberitahu sejak kecil lagi hidupnya sudah sebati dengan budaya itu.

"Budaya barat ini sudah sebati dalam hidup saya sejak kecil. Apabila berkahwin dan tinggal di luar negara, barulah saya sedar betapa ceteknya pemikiran dan naifnya saya.



"Saya mudah percaya apabila ada yang mengatakan orang barat jahil dan macam-macam lagi. Saya percaya orang lain pun beranggapan sama, kita suka sangat menghukum.

"Saya nak memperbetulkan tanggapan salah ini. Hakikatnya, orang barat juga ada kepercayaan dan agama. Kebanyakannya, beragama Kristian dan lain-lain. Sama seperti negara kita ada pelbagai agama dan bangsa. Mereka juga ada yang kuat agama dan menjunjung budaya sendiri," jelasnya.

Wanita kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, ada yang pantas membuat penilaian dan menganggap orang barat jahil dan jahat apabila melihat sesuatu perkara.



"Diakui, memang ada yang hidup tanpa agama dan kepercayaan di luar negara. Tetapi, kita tidak boleh menghukum sesebuah negara disebabkan segelintir tidak beragama. Rumusannya, kita kena fikir positif, banyak membaca dan menambah ilmu. Jangan cepat menghukum," ujar Ilya.

Dalam pada itu, mengulas usahanya untuk kembali ke Malaysia, pelakon filem KL Vampires itu berkata, dia belum dapat memberi jawapan pasti.

"Genap setahun saya berada di Perth pada 15 Februari lalu. Jika boleh, saya memang nak balik Malaysia secepat mungkin seandainya pintu sempadan dibuka. Tetapi, saya berhati-hati, bimbang tersilap percaturan akan membawa padah kepada diri sendiri dan orang lain," tuturnya.






www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Raja Ilya

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: