17 March 2021

'SAKIT MISTERI' AKIBAT SIHIR - ANDI BERNADEE BELUM SEMBUH SEPENUHNYA



Sekitar bulan lalu, penyanyi Andi Bernadee mendedahkan menjadi mangsa dengki hingga disihir dalam laman Instagram (IG). Menerusi video dimuat naik, Andi menunjukkan dua paku karat dalam mangkuk berisi kuning telur yang ditarik daripada bahagian tekaknya. Katak kering juga ditemui atas bumbung kediamannya.

Ditanya keadaan terkini, Andi memberitahu dia masih berusaha merawat 'sakit misteri' yang dialami. Meskipun begitu, Andi tetap mencari rezeki untuk menampung kehidupan.

Penyanyi lagu 'Satu Peluang' itu berkata, perbuatan sihir yang dialami belum sembuh sepenuhnya, tetapi dirinya harus bekerja demi kelangsungan hidup sebagai anak seni.

"Dalam keadaan pandemik COVID-19, ramai yang berebut-rebut mencari peluang pekerjaan, begitu juga saya. Seperti orang lain, saya juga kena berusaha dan bekerja kuat untuk survival. Kerja seperti anak seni mana ada gaji bulanan. Ada kala ibaratnya kais pagi, kais petang untuk mencari rezeki," katanya.

Klik untuk gambar besar



Andi berkata, situasi yang dilalui dalam usaha mencari rezeki digambarkan dalam single terbaharunya, 'Kais Pagi Kais Petang' yang dilancarkan, baru-baru ini.

"Saya harus meneruskan hidup walau apa pun terjadi dan diuji. Single 'Kais Pagi Kais Petang' menggambarkan kehidupan setiap manusia yang perlu bekerja setiap hari untuk mendapatkan rezeki pada musim era pandemik COVID-19 ini.

"Setiap manusia tidak sama, ada senang dan susah. Inilah lumrah kehidupan, bukan hanya di Malaysia, malah seluruh dunia melalui kehidupan yang sama," ujarnya.


Andi atau nama sebenarnya, Andi Azrul Andi Mapangile bersyukur, apa yang terjadi terhadap dirinya menyerlah sikap peminat yang begitu menyayanginya. Sejak kembali aktif ini, Andi terbabit dengan beberapa rakaman program hiburan.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada media dan peminat yang sentiasa menyokong dan serta saya diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik. Melihat kasih sayang dan sikap ambil berat buat saya rasa bahagia dan ringan kesakitan.

"Saya sempat singgah ke Aeon Seri Manjung, Ipoh, Perak, minggu lalu. Saya seronok dapat bertemu dan beramah mesra dengan peminat. Kemunculan saya dilakukan tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat," tuturnya.

Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu berkata, ramai yang mula bertanya soal kerjaya seninya: "Ada juga yang sudah merindui kemunculan saya di kaca televisyen untuk drama akan datang. Insya-Allah, saya akan terbabit dalam dalam satu telefilem siaran Aidilfitri berjudul Jom Mak Raya KL dan drama bersiri, Perisik Cinta Tak Diundang. Kedua-duanya untuk siaran TV3," jelasnya.


www.myartis.com / Sumber & foto: Berita Harian & Instagram Andi Bernadee

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: