09 April 2021

INGAT 'PRANK' RUPANYA BETUL - PASANGAN 'DURIANKIMCHI' BAKAL TIMANG ANAK



"Maryam Hamil 3 Bulan! Syukur Alhamdulillah, Akhirnya Ryzal dan Maryam bakal menimang cahaya mata setelah 2 tahun kami bernikah. Terima kasih Allah atas anugerah yang paling berharga dalam hidup kami.

"Duriankimchi Junior bakal menyusul 😅. Kami akan update dari masa ke semasa setelah buat pemeriksaan nanti," demikianlah kongsikan pasangan yang popular dengan gelaran 'Duriankimchi', Ryzal Ibrahim dan Maryam You Narae menerusi laman Instagram pada pagi Jumaat.

Melihat pada video berdurasi lebih lima minit itu yang dikongsikan, siapa sangka di sebalik perwatakan ceria dan lucu pasangan Instafamous yang merupakan suami-isteri Malaysia dan Korea Selatan, rupa-rupanya mereka 'hati tisu'.

Buktinya, Ryzal atau nama penuhnya Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim menitiskan air mata dan beberapa kali mengesatnya ketika menerima berita mengejut mengenai isterinya berbadan dua.

Klik untuk gambar besar



Ketika ditanya berhubung berita gembira ini, Ryzal berkata, dia sama sekali tidak menyangka menerima berita mengejut itu setelah bernikah pada Ogos 2019.

"Setelah dua tahun berkahwin, tak terfikir dapat anak (zuriat). Tapi bila dapat tahu, rasa macam tak percaya, sebab gembira dan nak menangis.

"Tapi sebab masa tu dalam kereta dan ada orang ramai di luar lalu lalang, saya cuba kawal perasaan tu," ujar pemuda berusia 28 tahun itu ketika dihubungi sambil menambah video tersebut dirakamkan lebih awal ketika kejutan dibuat Maryam terhadapnya.

Tambah Ryzal, dia juga pada mulanya sukar mempercayai berita gembira itu kerana sering kali menjadi bahan gurauan atau prank oleh Maryam, 28.



"Mula-mula macam tak percaya sebab selalu terkena dengan Maryam. Cuma kali ini Maryam nampak betul-betul serius, jadi saya percayakan dia.

"Tapi masa tu Maryam cuma cakap, kena tunggu balik rumah untuk tunjuk keputusan menerusi kit ujian kehamilan. Nasib baik dah dekat dengan rumah, 10 minit juga tunggu keputusan 'rasmi' daripada Maryam. Syukur Alhamdulillah," tuturnya dengan nada teruja.

Sementara itu, Maryam turut mengucapkan kesyukurannya kerana disahkan hamil tiga bulan. Berikutan kehamilan itu, jelasnya, terdapat perubahan pada fizikalnya yang bertambah berat badan sebanyak dua kilogram.

Namun, dia turut terkejut dengan tekaan pelakon veteran, Fauziah Nawi yang mesra dengan panggilan Ibu kerana dapat meneka dirinya sedang berbadan dua ketika mereka bersama-sama menjadi tetamu jemputan dalam sebuah program TV.



"Syukur gembira sangat. Tapi saya benar-benar terkejut bila Ibu cakap macam tu. Memang muka terkejut tapi saya diam saja, tak beritahu Ibu," ujarnya secara berseloroh.

Baru-baru ini, Fauziah Nawi dan Maryam menjadi tetamu jemputan bagi salah satu episod program Punchline DAC musim kedua di saluran Astro Warna yang dihoskan oleh pengacara, Datuk AC Mizal.

Menerusi program itu, Fauziah Nawi pada awalnya hanya menjawab soalan hos mengenai tips menurunkan berat badan sebelum AC Mizal menyakat dan menegur Maryam yang kononnya kelihatan berisi.

"Dia gemuk lain, dia gemuk ada bendalah," kata Fauziah Nawi yang secara spontan merujuk Maryam berkemungkinan sedang hamil.



KLIK VIDEO DIBAWAH INI UNTUK TONTON


www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram DurianKimchi

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: