22 April 2021

ANAK 'DAKWA' SELEBRITI LANGGAR SOP - ZARINA ZAINUDDIN TAMPIL MOHON MAAF



Anak kepada pelakon Zarina Zainuddin, Azal Azrai baru-baru ini telah mencuri perhatian netizen selepas memuat naik beberapa foto selebriti yang dikatanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir ke majlis perkahwinan pelakon, pengacara dan usahawan Noor Neelofa dan PU Riz.

Dalam hantarannya yang dimuat naik menerusi laman Instagram itu, Azal atau nama sebenarnya Muhammad Razal Azrai, 25, menulis keterangan gambar serta menanda (tag) nama selebriti-selebriti itu.

Azal mendakwa mereka sebagai suspek yang melanggar SOP, antaranya Izara Aishah, Adib Khalid, Scha Alyahya, Awal Ashaari dan Hannah Delisha bersama suami.

"Ini adalah artis Malaysia yang menjadi suspek dan hadir ke majlis perkahwinan Neelofa antaranya Izara Aishah, Adib Khalid, Scha Alyahya, Awal Ashaari dan Hannah Delisha bersama suami yang tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan sosial dan fizikal serta melanggar SOP!" tulisnya.

Klik untuk gambar besar



Azal yang juga anak Autisme memuat naik hantaran berkenaan bagi berkongsi pendapatnya mengenai SOP ketika penularan Covid-19 seperti yang dikuatkuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, Zarina menerusi ruangan komen yang menegur dalam nada gurauan turut mencuri tumpuan pengikutnya di platform media sosial itu: "Aduh! Dia jadi polis pulak! Dah tak ada kerja lain ke menyibuk hal orang? Azal jadi wartawanlah, dapat gaji," tulisnya.

Rata-ratanya netizen menyokong tindakan Azal yang berani bersuara mengenai perkara itu. Hantaran Azal itu mendapat hampir 6,000 tanda 'like' dan 300 komen.



Bagaimanapun, Zarina tampil memohon maaf terhadap barisan artis yang nama mereka disebut anaknya dalam hantaran tersebut. Zarina ketika dihubungi berkata, dia sebagai rakan memohon maaf sekiranya mereka tersinggung dengan tindakan anak istimewanya itu.

Menurut Zarina, Azal atau nama sebenarnya, Muhammad Razal Azrai, 25, yang menghidap autisme menulis atau mengeluarkan kata-kata mengikut hatinya.

"Saya pun perlu menjaga hati orang dan sebagai manusia, saya juga ada melakukan kesalahan. Kadang-kadang, kita terlepas pandang. Dia sendiri yang mengendalikan akaun Instagram itu dan Azal memang anak yang jujur. Dia tak tahu nak cakap berpusing-pusing. Dia suka tengok berita dan tahu banyak perkara mengenai isu semasa. Dah macam wartawan pula.



"Saya kadang-kadang sibuk dengan urusan kerja dan tak sempat nak memantau. Jadi, kalau ada benda yang dirasakannya tak betul, dia akan cakap secara terus," katanya.

Menurut Zarina, walaupun anaknya itu anak istimewa, dia benar-benar menjaga SOP setiap kali keluar atau menemaninya ketika berada di lokasi penggambaran.

"Dia sendiri sangat menjaga SOP. Dalam begnya ada banyak cecair pembasmi kuman dan selalu bawa banyak pelitup muka. Kalau masuk ke pusat beli-belah, dari pintu masuk hingga ke semua kedai, dia akan imbas kod MySejahtera dan suhu badan. Kadang-kadang, saya pun dia ingatkan supaya menjaga jarak fizikal, selalu memakai pelitup muka dan jaga SOP," tuturnya.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, HYPE & Instagram Azal Azrai

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: