06 April 2021

BEKAS SUAMI DOAKAN NADIA BRIAN DAPAT KEBAHAGIAAN YANG DICARI



"Selepas ini saya harap jangan kaitkan saya bersama dia lagi. Saya doakan yang terbaik buat Nadia dan semoga dia dapat kebahagiaan yang dicarinya," demikian kata bekas suami Nadia Brian, Muizz Nasruddin yang berharap tiada pihak cuba mengaitkan dirinya dengan pelakon itu serta mendoakan supaya bekas isterinya bertemu kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Setelah sekian lama rumah tangga bergoyah, akhirnya bertemu titik noktah apabila Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 31, dan Muizz, 30, sah bercerai talak satu.

Selepas memfailkan perceraian pada Oktober tahun lalu, Muizz berkata bersaksikan wakil daripada dua pihak, dia dan Nadia sudah pun berpisah secara sah. Ujarnya, dia melafazkan cerai di luar mahkamah supaya mereka dapat 'move on' dengan kehidupan masing-masing.

"Lafaz cerai dilakukan malam Jumaat lalu di kawasan perumahan di Puchong dan bersaksikan wakil daripada dua pihak. Disebabkan mahkamah lambat menetapkan tarikh perbicaraan, saya membuat keputusan untuk melafazkan cerai di luar mahkamah. Dengan cara ini kami dapat 'move on' dengan kehidupan kami," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, Muizz turut memuat naik status di Instagram seakan-akan memberi bayangan mengenai status rumah tangga mereka dengan mengatakan dia ingin memulakan kehidupan baharu.

Terdahulu, isu pergolakan rumah tangga pasangan ini hangat diperkatakan sejak Oktober lalu dan lebih mencetuskan tanda tanya apabila Muizz turut mendakwa Nadia curang terhadapnya.

Bagaimanapun pelakon drama 'Titian Takdir' itu menafikan semua tuduhan terhadapnya sebelum ini, malah menyifatkan ia sebagai fitnah semata-mata.

Untuk makluman, Nadia mendirikan rumah tangga dengan Muizz pada 9 November 2019 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram Muizz Nasruddin & Nadia Brian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: