17 April 2021

BUAT LAPORAN POLIS - EZLYNN NAK SAMAN DUA PIHAK



Sebelum ini, penyanyi Ezlynn telah dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan pembabitannya bersama seorang pelakon dengan seorang lelaki yang terbabit dalam kegiatan haram seperti yang tular ketika ini.

Terdahulu, tular dokumen mengaitkan Ezlynn dan seorang pelakon sebagai pihak yang terbabit bekerjasama dalam menjalankan aktiviti pengubahan wang haram bersama lelaki itu.

"Saya juga beri kenyataan saya dan sudah ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta berikan kenyataan yang lengkap dalam kes ini. Mereka berpuas hati dengan keterangan yang diberikan," katanya.

Terkini, Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 39, memaklumkan dia telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, semalam bagi menafikan pembabitannya itu.

Pada masa sama, Ezlynn akan memfailkan saman terhadap dua pihak iaitu pemilik akaun Facebook Ryan Ricmal dan Jabatan Netizen Negara Official yang dikenal pasti menular dokumen terbabit yang mencemar imej dan menjatuhkan maruahnya.

"Selepas membuat laporan, saya ke Balai Polis Damansara untuk bertemu Pegawai Penyiasat bagi merakamkan keterangan. Polis menafikan dokumen itu daripada mereka dan hairan bagaimana ia boleh tersebar secara meluas di media sosial. Apa yang dilakukan ini kerana saya nak ambil tindakan saman," jelasnya.

Menurutnya, polis berjanji akan menyiasat kes ini secara profesional supaya keadilan berpihak kepadanya. Penyanyi yang popular dengan lagu lagu 'Hi Hi Bye Bye' ini berkata, nama-nama mereka turut disebut dalam laporan polis yang dibuat.

"Tujuan saya sebagai pengajaran supaya jangan sebarkan perkara yang tak betul. Saya cuma nak mereka minta maaf secara terbuka kepada saya sebelum saya bergerak ke fasa selanjutnya iaitu saman sivil.

"Sebelum itu, saya beri peluang mereka buat permohonan maaf terbuka dulu dalam masa 48 jam. Mereka juga kena padam status berkenaan perkara ini," ujarnya.

Ezlynn berkata, seorang lagi pemilik akaun Facebook iaitu seorang wanita dari Perlis sudah mengemukakan permohonan maaf menerusi suaminya dan dia menganggap perkara ini selesai.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: