23 April 2021

CALIPH BUSKERS NAFI LETAK HARGA KERANA 'DEMAND', TERIMA 'JOB' BERBALOI DIKONGSI BERLIMA



"Saya memang tidak tahu rate card artis-artis lain macam mana tetapi kalau kumpulan Caliph Buskers memang kami meletakkan sejumlah harga yang bersesuaian dengan kami berlima. Dulu ada penganjur mahu kami buat persembahan di Kedah dengan tawaran harga sebanyak RM1,000, jadi kami terpaksa menolak sebab jumlah yang ditawarkan itu termasuk sekali kos pengangkutan kami ke sana.

"Saya rasa sekarang mana-mana buskers pun tidak akan terima persembahan di luar KL jika ditawarkan RM1,000 sahaja. Ia bukan bermaksud kami demand sebaliknya harus bersesuaian dengan usaha kami untuk sampai ke sana," demikian kata vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat.

Selepas lebih tujuh tahun bergiat aktif dalam industri hiburan tempatan, kumpulan Caliph Buskers tidak menafikan masih lagi terdapat beberapa penganjur yang memberikan tawaran harga tidak berpatutan dengan usaha mereka. Menurut Azmi atau nama sebenarnya, Khairul Azmi Mohd Saat, 34, kumpulan itu kini meletakkan harga bukanlah bermaksud 'meninggi diri' dengan kejayaan yang dikecapi mereka.

Klik untuk gambar besar



Sebaliknya, mereka kini sudah menpunyai nilai harga yang bersesuaian agar ia berbaloi dengan kudrat yang dicurahkan mereka demi menjayakan sesebuah persembahan. Sementara itu, Azmi juga berkata Caliph Buskers tidak akan sesekali berkira sekiranya persembahan itu melibatkan program amal atau kebajikan.

"Kalau kami diundang untuk program amal, kami akan pergi tanpa banyak tanya sebab buat benda baikkan. Lainlah, kalau ada mana-mana syarikat besar yang buat undangan memang kami ada harga-harga tertentu. Setakat ini saya tak dengar pula ada mana-mana penganjur kata kami semakin kekwat (sombong) disebabkan rate card yang diletakkan oleh kami," ujarnya.

Selain Azmi, Caliph Buskers turut dianggotai Zaki selaku pemain bass, Fendy (pemain dram), Nirwan (pemain gitar) dan Nadira (shaker). Kumpulan ini mula mendapat perhatian ramai selepas tampil dalam pentas Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL 29) dengan menyanyikan lagu 'Romancinta' nyanyian asal kumpulan Mojo pada tahun 2015.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: