23 April 2021

REDA ANDAI AJALNYA SAMPAI - NASH BERSYUKUR DIBERI KESEMPATAN TERUSKAN HIDUP



Penyanyi Datuk Nash mengaku reda andai ajalnya sampai selepas berdepan detik cemas apabila kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya yang dipandu rakan terbabas dalam kemalangan di Kilometer 250.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, iaitu berhampiran Seremban, petang Selasa. Berlapang dada menerima segala kemungkinan, Nash atau nama sebenar, Nasharudin Elias, 61, tidak takut dijemput Tuhan.

"Namun, saya bersyukur, Allah masih beri kesempatan untuk saya meneruskan hidup. Jujur diakui, andai ditakdirkan nyawa dicabut ketika itu, saya tidak perlu takut. Ikhlas saya katakan, hidup lawannya mati. Kita semua menuju ke situ... Mati itu pasti," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang kelmarin, Nash yang juga vokalis band rock popular era 1980-an, Lefthanded, luka pada muka dan sakit dada selepas kenderaan dinaikinya bersama pemandu, terbabit dalam kemalangan.

Ketika kejadian, SUV jenis Toyota Harrier yang dinaiki Nash bersama pemandu berusia 33 tahun itu dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dilaporkan berkata, nahas berlaku apabila kereta dinaiki Nash melanggar lopak air hingga menyebabkan kenderaan terbabit hilang kawalan.

Kenderaan itu kemudian terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya. Kemalangan itu disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59 dan dilaporkan, siasatan lanjut masih diteruskan.



Menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban, Nash yang ditemani anaknya, mengaku stabil: "Saya dalam keadaan stabil. Saya minta dibenarkan pulang secepat mungkin. Saya minta keluar petang ini (semalam). Keputusan imbasan CT Scan yang diperoleh juga menunjukkan saya okay.

"Saya dimaklumkan, tidak mengalami keretakan atau patah pada mana-mana anggota badan. Pendek kata, saya tidak cedera teruk. Cuma sehingga sekarang, badan saya sakit dan sengal membabitkan urat. Selain itu, dua batang gigi saya agak goyang dan kebas. Bibir bahagian atas dan bawah pun koyak dan terpaksa dijahit," jelasnya.

Berkongsi detik mendebarkan kelmarin, Nash berkata, ketika kejadian, dia yang duduk di sebelah pemandu, terlelap. Namun, Nash sangat bersyukur, ketika kejadian, tiada kenderaan lain terbabit sama

"Namun, kira-kira 30 minit selepas kejadian dan dibawa ke hospital, polis ada beritahu berlaku satu lagi kemalangan di lokasi sama. Saya kurang pasti kenapa berulang kemalangan di situ. Mungkin ada kesan minyak di atas jalan," tuturnya.

Penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu juga bersyukur kerana menyedari ramai orang menyayanginya: "Kemalangan ini membuka mata saya... Ramai yang sayang. Saya bersyukur atas nikmat ini. Ramai kenalan termasuk teman artis yang menghubungi dan menghantar pesanan mendoakan kesejahteraan diri.


"Saya tersedar selepas kereta dipandu rakan terbabas dan rasa terhentak. Apabila dikeluarkan dari kereta, badan saya terasa sakit lain macam... Sakit sangat urat dalam badan. Bibir saya pun pecah. Kereta pula memang rosak dan hancur teruk.

"Ada teman dari Sabah dan Sarawak termasuk negara lain seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. Ada juga panggilan dan mesej yang tidak sempat saya balas. Saya anggar kira-kira 500 panggilan tidak dijawab, sama juga mesej yang diterima melalui aplikasi WhatsApp," ujarnya.

Nash yang aktif mengikuti kegiatan tabligh berkata, teman-teman tabligh turut melakukan solat hajat dan bacaan Yassin: "Mereka anjurkan solat hajat dan bacaan Yassin pada waktu Maghrib, kelmarin," katanya yang memiliki tiga cahaya mata dan enam cucu.

Sebelum ini, dilaporkan Nash tidak selesa apabila foto bersama jemaah tabligh tersebar menerusi media sosial hingga mencetuskan pelbagai spekulasi kurang enak dalam kalangan netizen, baru-baru ini.

Nash berkata, penyertaan dalam kumpulan tabligh bukanlah perkara baharu, malah dirinya mempunyai alasan tersendiri untuk tidak mendedahkannya kepada masyarakat. Nash mengaku mula mengikuti kegiatan tabligh antara empat hingga lima tahun lalu.

Memulakan karier sebagai penyanyi bersama kumpulan Lefthanded yang ditubuhkan pada 1976. Merakamkan empat album bersama Lefthanded. Album solo pertama berjudul Nash yang memuatkan lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu' meledak pada 1992 hingga diangkat sebagai Juara Lagu tahun sama. Antara lagu popular 'Zahir Tak Terucap', 'Ku Di Halaman Rindu', 'Ku Kehilangan Cinta Tiga Dimensi' dan 'Tiada Lagi Kidungmu'.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: