18 April 2021

DIKATAKAN BERHIJRAH KERANA 'JOB' KEAGAMAAN - NABIL NAFI, INGIN TERUS ISTIQAMAH



"Saya hanya minta (netizen) terus doakan saya istiqamah sebab agama ini tidak bermusim. Kalau nak tahu, tawaran mengacarakan program agama ini datang selepas saya berhijrah.

"Kalau dia datang sebelum saya berhijrah, mungkin saya sendiri tak bersedia nak ambil job tersebut sebab bukan mudah nak kendalikan rancangan agama kalau kita tidak ada kefahaman tentang agama itu sendiri.

"Salah satu sebab saya setuju buat program ini kerana nak jumpa ustaz-ustaz hebat agar mereka dapat terus doakan saya istiqamah dalam penghijrahan. Penghijrahan saya bukan bermusim sebab setiap masa sebenarnya kita kena dekat dengan agama," demikian kata pelawak dan pengacara Nabil Ahmad.

Perubahan Nabil yang kini berhijrah dengan mendekatkan diri kepada jalan Allah semakin diterima ramai. Namun tidak kurang juga menganggap perubahan Nabil, 38, hanya bermusim memandangkan dia ditugaskan mengacara program keagamaan, N to N bersama rakan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor.

Klik untuk gambar besar



Menurut Nabil, dia tidak dapat menutup mulut orang daripada berkata-kata namun meminta semua pihak mendoakan dia sentiasa istiqamah dengan penghijrahan tersebut.

Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad mengakui ujian berhijrah mendekatkan lagi diri dengan Allah, pastinya ada ujian tersendiri.

"Kita kena istiqamah. Biar sedikit-sedikit tapi berpanjangan. Saya takut sangat, kalau Allah uji saya berubah balik sebab saya sudahlah lemah, iman tak kuat, bukan keluarga alim.



"Saya doalah ada anak cucu saya nanti kahwin dengan orang alim, dapat jadi hafizah, golongan alim, itu adalah misi saya, jadi doakan saya," tuturnya.

Menurut pengacara MeleTop itu, dia juga melihat perubahan yang cukup besar dalam kehidupan sehariannya dann keluarga sejak menyertai tabligh.

"Kesan selepas keluar dengan tabligh, saya dulu suka marah-marah, ada saja benda tak kena sikit, marah. Tapi bila baca hadis-hadis di rumah, Alhamdulillah, perubahan dalam keluarga saya memang nampak sangat bezanya.



"Itulah yang saya maksudkan magisnya. Dulu, macam ada perkara tak kena dalam keluarga saya, kosong, bergaduh suami isteri. Tapi, pembawaan seisi rumah sekarang berbeza.

"Terus-terang saya cakap, sewaktu keluar pertama kali dengan tabligh, memang drastik (perubahan dalam keluarga). Alhamdulillah, itulah yang harus dikekalkan sekarang," jelasnya.

Tidak seperti kebiasaan selebriti yang sudah berhijrah pasti mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang seni, namun hal ini berlainan pula buat Nabil.



Nabil menganggap ia satu tanggungjawab buatnya untuk berdakwah kecil dalam kalangan rakan-rakan selebriti agar perkara itu dapat dikongsikan bersama mereka.

"Saya tiada persediaan untuk tinggalkan industri hiburan sebab saya ada sedikit rasa nak kawan-kawan artis tahu apa yang saya rasa (bila dah berhijrah).

"Saya minta Allah beri saya kekuatan untuk buat dakwah kecil di kalangan rakan-rakan selebriti. Mereka semua ini baik tapi tiada kejayaan kalau kita tidak ikut sunnah yang dianjurkan oleh Nabi.



"Saya bagi contoh Cristiano Ronaldo baik (suka berbuat amal) tapi selagi dia tak mengucap dua kalimah syahadah, tempat dia bukan di syurga," ujarnya.

Sementara itu berkongsikan tentang aktiviti Ramadannya pada kali ini, bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata dia memperlahankan kerjaya seni bagi memberikan fokus dalam beribadah sepanjang bulan mulia ini.

"Untuk bulan puasa, saya fokus mengaji, baca Al-Quran dan hadiri majlis-majlis agama serta meraikan anak-anak yatim sepanjang bulan ini," tuturnya.



www.myartis.com / Sumber: mStar & Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: