Penyanyi Datin Alyah menerusi laman Instagram telah memuat naik screenshot mesej peribadi (DM) yang dihantar seorang individu yang mempersoalkan tindakannya berada di Pulau Langkawi bersama rakan-rakan.
Malah, individu tersebut menuduh penyanyi yang popular dengan lagu 'Sesal Separuh Nyawa' itu tidak cerdik apabila menunjukkan gambar berada di kapal mewah sambil bertukar-tukar baju fesyen.
Menurut penyanyi ini, dia telah menerima banyak lagi maki hamun yang mempersoalkan perihal prosedur operasi standard (SOP). Enggan berdiam diri, Alyah dilihat menjawab tuduhan warganet tersebut yang mendakwa dirinya melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Jelas Alyah, dia bersama pasukannya ke Langkawi bagi menjalani penggambaran video muzik lagu terbaru 'Thank You Allah' dari 4 hingga 7 April.
Klik untuk gambar besar
Ujarnya lagi, sebagai seorang penyanyi dia perlu mengeluarkan lagu bagi memastikan perniagaan berterusan. Malah, pihaknya juga perlu mengeluarkan produk dalam bentuk visual.
"Kami sedaya-upaya menyediakan segala dokumen perjalanan dan surat kebenaran daripada pihak berkuasa. Sejak saya berada di Langkawi, pelbagai DM yang saya terima antaranya seperti yang saya muat naik di media sosial. Itu belum lagi nombor tak dikenali. Salam tidak apa pun tidak, terus maki hamun saya persoal itu dan ini mengenai SOP.
"Saya masih seorang penyanyi dan bekerja di bawah syarikat rakaman sendiri. Sebagai peniaga muzik saya harus mengeluarkan lagu bagi memastikan perniagaan ini berterusan. Ia bukan hanya pada halwa telinga sahaja, tapi pihak saya perlu juga mengeluarkan produk dalam bentuk visual juga.
"Pihak saya dan pasukan Like Music Sdn Bhd ke Langkawi kerana atas urusan kerja bagi menyiapkan video muzik lagu terbaru saya 'Thank You Allah'. Apa yang diusulkan oleh anda yang macam tak puas hati terhadap saya, memang betul ia terjadi tapi semuanya atas pemintaan bagi menyiapkan video muzik terbaru saya. Saya tak naik kapal persiaran untuk suka-suka dan tidak berkeinginan pun ke Langkawi kalau setakat nak tukar baju fesyen. Kalaulah saya tak cerdik juga, saya minta maaf," katanya.
Menerusi hantaran itu juga, Alyah yang juga isteri kepada pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS ini turut memuat naik surat permohonan merentas negeri bermula 4 hingga 7 April.
Alyah juga memuat naik surat atau permit perniagaan yang didaftarkan atas nama syarikatnya iaitu Like Music Entertainmnet yang masih sah sehingga 18 Januari 2024.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Astro Gempak & Instagram Alyah
________________________
No comments:
Post a Comment