24 April 2021

DUA PELAKON, EMPAT KRU POSITIF COVID-19 - AIDA ARIS: "KENAPA NAK SALAHKAN PENERBIT?"



Berhubung enam individu membabitkan dua pelakon dan empat kru yang dijangkiti virus Covid-19, penerbit Cintakasih Productions Sdn Bhd juga pelakon iaitu Aida Aris menyifatkan ia adalah di luar jangkaan.

Sehubungan itu, Aida menyarankan supaya pelakon atau kru perlu berehat sekurang-kurangnya 14 hari sebelum memulakan penggambaran dengan syarikat produksi lain.

"Macam mana kita nak hentikan perkara ini. Dalam keadaan sekarang sesiapa saja boleh dijangkiti. Apabila kita tidak hentikan penggambaran, perkara ini akan melarat. Bagi saya pihak tertentu kena tengok perkara ini.

"Mungkin bagi mereka yang terbabit dengan penggambaran sebelumnya perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum mulakan penggambaran baharu. Jadi, artis dan kru kena jujur sebab syarikat produksi tidak tahu. Kalau jadi macam sekarang ini, semua jadi susah," katanya.

Aida yang juga penerbit filem 'Tariandi' itu berkata, apabila ia berlaku, penerbit terpaksa menanggung kosnya. Lima individu lain dalam produksi milik Aida menjalani penggambaran filem 'Tariandi' di Kuala Kangsar, Perak sebelum disahkan positif Covid-19.

Mereka terdiri daripada pelakon utama lelaki, Akif Halqi dan empat kru semuanya wanita iaitu pembantu pengarah 2, pembantu peribadi pengarah, kesinambungan dan clapper.

"Sekarang timbul masalah dengan pasukan produksi apabila tak puas hati dengan penerbit. Mereka tuduh saya lepas tangan dan abaikan pasukan. Saya didakwa tidak menjalani kuarantin bersama mereka dan kononnya saya lari," katanya.

Aida berkata, selepas Sweet Qismina disahkan positif, bermakna seluruh pasukan perlu dipantau dan kes diambil alih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Bagi saya, apabila bekerja dalam keadaan penularan Covid-19, semua pihak perlu bersedia ambil risiko. Ini kerana tidak ada siapa tengok, tahu dan jangka perkara ini. Jadi, masing-masing kena jaga diri dan patuh pada prosedur operasi standard (SOP).

"Namun, kita semua masih perlu bekerja dan cari makan. Tapi, apabila ada yang dijangkiti, janganlah pula salahkan penerbit," tuturnya.

Aida berkata, timbul pertikaian dalam kalangan kru mengenai soal ujian saringan sebelum memulakan penggambaran filem Tariandi pada 15 April lalu.

"Ketika penggambaran dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semua kru dan pelakon perlu menjalani ujian saringan sebelum Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) keluarkan Surat Perakuan Penggambaran (SPP). Namun, selepas status bertukar Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB), ia tidak perlu lagi. Tapi, kalau ada nak buat ia atas inisiatif sendiri.

"Jika ada pihak yang pertikaikan kenapa syarikat produksi saya tidak buat, ini tidak ada dalam syarat apabila status bertukar ke PKPB. Jika masih perlu, tentu saja Finas tidak keluarkan SPP untuk produksi saya memulakan penggambaran.

"Apabila masalah ini berlaku pasukan kru pertikaikan. Apa saya boleh cakap, kenapa sebelum ini tak tanya? Kenapa apabila sudah kena baru tanya dan salahkan penerbit?" katanya.

Penggambaran filem 'Tariandi' sudah dihentikan sejak 16 April lalu dan semua pelakon dan kru kini menjalani kuarantin di sebuah resort di Perak.

Sebelum ini, Aida mengesahkan lima individu lain dalam produksi itu turut dijangkiti, susulan pelakon Sweet Qismina disahkan positif Covid-19 pada 20 April lalu. Mereka terdiri daripada seorang pelakon utama lelaki, Akif Halqi dan empat kru semuanya wanita iaitu pembantu pengarah 2, pembantu peribadi pengarah, konti dan clapper.

Aida Aris ketika dihubungi berkata, jangkitan itu berlaku ketika mereka menjalani penggambaran filem Tariandi di Kuala Kangsar, Perak pada 15 April lalu.

"Saya difahamkan sebelum masuk lokasi dia (Sweet Qismina) terbabit dalam penggambaran drama bersiri dan mungkin dia dijangkiti di situ. Habis saja dengan drama itu, dia terus sambung dengan produksi saya pula untuk filem 'Tariandi' ini.

"Kami mula penggambaran pada 15 April dan pada 16 April dia mengadu demam. Selepas berehat beberapa hari, dia menjalani ujian saringan dan hasil ujian positif. Jadi, saya terus arahkan produksi untuk hentikan penggambaran.

"Apabila Sweet disahkan positif, Akif pula mengadu badan sejuk dan sakit tekak. Pada masa sama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) maklumkan seluruh produksi ini dibawah pemerhatian mereka. Kami pun akur dan semua kru tidak dibenarkan keluar dan hanya duduk di penginapan sebelum ujian saringan dibuat.

"Namun, saya membawa Akif termasuk tiga kru lain untuk buat ujian saringan di hospital swasta dahulu kerana mereka ini kerap bersama Akif. Saya pun buat ujian saringan sama.

"Hasil ujian, Akif positif dan kami yang lain negatif. Jadi, Akif terus dibawa ke pusat kuarantin dan kami tidak dibenarkan bercampur dengan kru lain. Sementara kru lain menjalani ujian saringan pada 21 April," jelasnya.

Aida memaklumkan, kru menjalani proses kuarantin di Ulu Kinta dan Tanjung Rambutan sementara yang positif ditempatkan di Pusat Kuarantin di Ipoh. Aida berkata, dia sudah memaklumkan perkara itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) selepas Sweet Qismina disahkan positif.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: