01 April 2021

HANNAH MAHU JAGA AIB: "YANG PENTING KAMI BAHAGIA... DOAKAN BAIK-BAIK"



"Sejujurnya bagi saya perkara yang berlaku terlalu peribadi, masalah keluarga. Cuma apa yang bezanya, saya seorang 'public figure'. Saya percaya ramai lagi di luar sana yang ada masalah masing-masing. Mungkin bukan masalah keluarga tetapi mungkin ia melibatkan soal kewangan, peniagaan, perhubungan dan sebagainya. Tapi inilah masalah saya.

"Jadi saya tidak mahu buka aib sesiapa. Saya mahu menjaga mengenai hal tersebut. Yang penting kami bahagia. Apa yang boleh saya harapkan ialah mendoakan yang baik-baik. Jangan fikir negatif atau pun buat spekulasi sendiri. Kita semua ada masalah, cuma situasinya sahaja yang berbeza," itulah kata-kata pelakon dan penyanyi Hannah Delisha.

Hannah, 25, yang selamat bergelar isteri kepada pelakon Imam Shah, 32, itu sekali lagi menegaskan hal berkaitan keluarga adalah hal privasi yang tidak perlu dikongsikan kepada umum.

Ini kerana pelakon filem 'Langsuir' ini mahu menjaga aib. Dalam pada itu, Hannah atau nama sebenarnya Hannah Adlina Blackburne Birch turut mengharapkan ramai agar mendoakan yang terbaik buatnya seisi keluarga.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, suami Hannah reda dengan apa yang berlaku dan mereka saling menyokong di antara satu sama lain: "Apa yang berlaku melibatkan kami bersama. Jadi suka atau tidak, kita sama-sama terima. Susah senang bersama, nak buat macam mana," ujarnya.

Hannah dalam masa sama turut menjelaskan tiada banyak beza perubahan yang dialami selepas bergelar isteri, selain dia dan Imam saling melengkapi.

"Saya bersama suami sebelum masuk industri seni di Malaysia lagi. Kita pun sudah lama juga mengenali antara satu sama lain. Bila sudah sah bergelar suami isteri, antara bezanya ialah kami ada di antara satu sama lain setiap masa," tuturnya.

Bercakap mengenai perancangan cahaya mata pula, pasangan tersebut tidak menolak andai dikurniakan rezeki zuriat selepas ini: "Kami percaya kepada rezeki, tidak mahu merancang. Kalau ada rezeki, adalah. Tiada target yang tertentu. Kami pun sukakan kanak-kanak, terutamanya Imam," kata Hannah.



Terdahulu, pasangan selebriti ini mengejutkan ramai apabila keduanya mendedahkan mengenai perkahwinan mereka pada menerusi laman media sosial masing-masing pada 18 Februari lalu.

Pada Mac lalu, Hannah tampil membuat permohonan maaf selepas pelbagai kontroversi menghimpit dirinya sejak melangsungkan perkahwinan secara senyap dengan Imam, termasuk perkahwinan yang didakwa tidak direstui ibunya, Noor Ashikin Ahmad.

Hannah menerusi satu kenyataan meminta semua pihak memberikan ruang peribadi buatnya berhubung kontroversi berkenaan. Dalam masa sama, timbul pula cerita apabila mereka katakan sudah berkahwin sejak setahun lalu.

Ia susulan perkongsian foto daripada rakan artis yang juga pengacara, Eleena Sui melalui Instagram pada tahun lalu bertarikh 19 Februari, kelihatan hampir sama dengan gambar yang dikongsikan ibu mentua Hannah menerusi media sosial sebelum ini.




www.myartis.com / Sumber & foto: Media Hiburan & Instagram Nad Zainal

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: