13 April 2021

HIDAP KANSER RAHIM - MAK JAH BERSYUKUR KESIHATANNYA KINI SEMAKIN PULIH



"Alhamdulillah, sekarang saya makan ubat yang diberikan doktor sebulan sekali bagi memastikan kanser itu tidak kembali aktif. Keadaan saya pun dah semakin pulih.

"Dalam usaha saya untuk berubat, memang saya kena gunakan semua wang simpanan sampai habis. Barang kemas pun saya terpaksa korbankan sebab kos perubatan mencecah RM52,000.

"Alhamdulillah, atas doa keluarga, kawan-kawan dan peminat, kesihatan saya sudah semakin baik," kata pelakon Maimunah Ahmad, 73, atau lebih dikenali sebagai Mak Jah yang bersyukur kesihatannya kini semakin pulih selepas disahkan menghidap kanser rahim tahap satu pada 2016.

Berkongsi mengenai usahanya merawat penyakit itu, Mak Jah berkata, dia menggunakan semua wang simpanannya untuk menampung kos perubatan. Disebabkan penyakit itu juga, Mak Jah kini terpaksa membataskan kerja-kerja lakonannya.

"Pihak produksi yang menawarkan kerja lakonan kepada saya pun kebanyakannya sudah sedia maklum mengenai keadaan kesihatan saya. Kalau dulu, dalam usia 60-an, saya masih boleh berlakon watak-watak kasar dan ganas contohnya dalam filem Bohsia Jalan Kembali, tapi sekarang dah tak kuat macam dulu lagi. Ada juga tawaran yang saya terpaksa tolak kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan," jelasnya.

Sementara itu, setiap tahun, Mak Jah akan menyertai sekolah pondok sepanjang Ramadan. Namun, tahun lalu dan tahun ini, penularan Covid-19 menghalangnya daripada berbuat demikian. Jadi, dia akan banyak menghabiskan masa ke surau atau masjid berdekatan rumah.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: