Sebelum ini foto penyanyi kumpulan The Real Spin, Khalis Shari yang kelihatan amat pucat serta badan yang kurus didukung seseorang masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital, tular di media sosial.
Berikutan tular gambar Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md Shari, 32, dalam keadaan terlalu kurus dan cengkung, ada segelintir netizen yang mengaitkan adik kepada Achik Spin itu menjadi begitu disebabkan sakit akibat mengambil dadah.
Bagaimanapun, isteri Khalis iaitu Zalina Azman, 40, menafikan komen negatif tersebut. Zalina ketika dihubungi mengakui foto yang tular itu adalah suaminya, namun orang ramai tak perlulah menjatuh hukum lebih awal terhadap Khalis tanpa tahu mengenai tahap kesihatannya.
"Suami saya tidak merokok, apatah lagi nak ambil dadah. Suami saya seorang yang anti dadah dan dia juga bukan perokok. Keadaan kesihatannya kurang baik disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapi selama ini.
"Khalis hanya diketahui menghidap kencing manis, Februari lalu apabila dia dimasukkan ke ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban kerana paras gula dalam badan terlalu tinggi," katanya.
Ditanya mengenai tubuh Khalis terlalu kurus dan wajah cengkung, Zalina berkata, berat badan suaminya yang kini masih dirawat di HTJ sejak kelmarin hanya 32 kilogram (kg) berbanding sebelum sakit, 50kg.
Zalina berkata, pagi kelmarin Khalis masih dalam keadaan baik, bagaimanapun pada waktu tengah hari dia tiba-tiba separuh sedar.
"Saya cuba memanggilnya tetapi tiada respon sebelum kami membawanya ke HTJ. Dia kemudian dimasukkan ke zon merah jam 5 petang hingga 11 malam kelmarin. Selepas itu baru dia ditempatkan di wad biasa.
"Bagaimanapun, semalam dia mula sedar dan sudah boleh bercakap. Namun, tubuhnya masih sangat lemah serta kurang bertenaga," jelasnya.
Menurut Zalina, doktor memaklumkan suaminya menjadi lemah dan tidak sedarkan diri kerana kandungan garam dalam badan menurun akibat tiada selera makan termasuk kurang minum.
"Apapun, saya mohon hentikan komen-komen negatif terhadap suami terutama dakwaan dia mengambil barang terlarang itu. Sebagai isteri, saya kesal suami didakwa sebegitu sedangkan dia sebenarnya dalam keadaan sakit.
"Saya juga mohon doakan yang baik-baik buat suami dan semoga dia kembali pulih. Saya tahu mulut orang tak boleh ditutup dan kami hanya mampu positif saja menghadapi perkara ini," tuturnya.
Khalis yang juga adik kepada Allahyarham Achik Spin dan abang kepada penyanyi, Tajul Ariff itu pernah popular dengan lagu 'Semakin Rindu' pada 2017. Video muzik lagu itu di YouTube sudah mencatat 10 juta tontonan.
www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro, Instagram KhaliS, Tajul & @bebyachaa
________________________
No comments:
Post a Comment