09 April 2021

MAJLIS NIKAH NEELOFA - POLIS TUNGGU ARAHAN PEJABAT PEGUAM NEGARA SEBELUM AMBIL TINDAKAN



"Saya mengesahkan siasatan telah lengkap dihantar ke Bukit Aman hari ini sebelum diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Berhubung sama ada mereka akan dikenakan kompaun atau tidak, itu pihak Pejabat Peguam Negara yang ada kuasa untuk menentukannya. Apabila keputusan dah ada saya akan maklumkan," kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Akhirnya siasatan berhubung majlis pernikahan Neelofa PU Riz yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selesai.

Mohamad Zainal memaklumkan kertas siasatan berhubung majlis pernikahan pasangan selebriti Neelofa, 36, dan pendakwah bebas, PU Riz atau Haris Ismail, 26, diserahkan kepada Bukit Aman pada Jumaat.

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya perlu menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara sebelum apa-apa tindakan diambil.

Klik untuk gambar besar



Terdahulu Neelofa atau penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor menerusi rakaman video kepada mStar berkata, keluarganya dan suami turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi memberi keterangan.

Neelofa dan Riz juga hadir ke IPD Dang Wangi pada Isnin lalu bagi tujuan yang sama. Ujar Neelofa dia terbuka menerima sebarang tindakan daripada pihak berkuasa berhubung isu pelanggaran SOP.

"Saya seikhlas hati mohon maaf atas segala kesalahan SOP yang dalam pengetahuan mahupun luar pengetahuan saya. Saya dan suami menerima dengan hati terbuka segala keputusan dan tindakan daripada pihak berkuasa," tutur Neelofa yang bernikah dengan PU Riz pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Sebelum ini polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas timbul kekecohan bahawa majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.


www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: