27 April 2021

NADIA BRIAN: "DIA (ZIZAN) DIANUGERAHKAN BAKAT UNTUK MENCERIAKAN HARI-HARI SAYA"



Pelakon Nadia Brian sebelum ini menerusi laman Instagram telah berkongsi gambar bersama pelakon dan pelawak Zizan Razak dan ia mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang turut mengusik mengatakan kedua mereka serasi serta sepadan.

Mengulas mengenai komen netizen yang menganggap dia dan Zizan Razak sebagai pasangan yang 'sweet', Nadia ketika dihubungi berkata, dia mengenali Zizan sejak beberapa tahun lalu dan selesa berkawan dengan pelakon yang juga pelawak dan pengacara popular itu.

"Nak tergelak! Saya kenal Zizan sejak 2016 ketika kami sama-sama berlakon dalam teater Bikers Kental di Istana Budaya. Kebetulan, kami pun bergandingan sekali lagi dalam filem 'Rumah Maduku Berhantu' yang baru saja tamat penggambarannya baru-baru ini.

"Pada hari terakhir itu, saya memuat naik gambar bersamanya kerana sepanjang kami menjalani penggambaran, saya tak ada muat naik apa-apa," katanya.

Menguatkan lagi spekulasi netizen mengenai hubungan mereka adalah apabila Nadia dilihat turut meraikan majlis kejutan sempena ulang tahun kelahiran Zizan baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar

 

"Sebelum ini, kelab peminatnya membuat kejutan sempena ulang tahun kelahirannya. Kebetulan, ibunya juga turut hadir dan saya memang kenal dengan ibunya. Ketika kejutan itu dibuat, saya sedang berada di set dan ibunya tarik saya untuk sama-sama meraikan.

"Jadi, dari situ ada peminat yang mula membuat spekulasi mengenai kami. Tambahan pula, saya pun baru bercerai dan dia pun masih tidak terikat dengan mana-mana hubungan," jelasnya.

Dalam hantaran di beberapa platform media sosialnya baru-baru ini, Nadia berkongsi gambar bersama Zizan dengan keterangan mengenai persahabatan.

"Saya tulis mengenai persahabatan. Mungkin ada persamaan kerana kami pernah melalui fasa yang lebih kurang sama dalam perhubungan. Jadi, gambar yang saya muat naik itu umpama mengingat semula memori kami sebagai sahabat sejak awal perkenalan beberapa tahun lalu," tuturnya.


Ditanya mengenai peribadi Zizan, Nadia mengakui Zizan sentiasa membuatkan hari-harinya ceria. Nadia juga memohon doa daripada peminat agar dia dan Zizan dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan masing-masing.

"Dia sangat bertuah kerana dianugerahkan dengan bakat untuk menceriakan hari-hari saya. Memang ketawa sentiasa. Lagi satu, orang cakap Zizan adalah 'playboy', tapi bagi saya dia tidak begitu. Dia baik orangnya.

"Saya mohon doa daripada peminat supaya doakan kebahagiaan kami. Kalau Zizan jodoh saya, saya tak mampu menolak, tapi kalau jodoh saya dengan orang lain pun, doakan saya bahagia. Begitu juga untuk dia. Saya pun kalau boleh nak berumah tangga semula sebelum usia 35 tahun," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nadia dan Zizan membintangi filem komedi seram 'Rumah Maduku Berhantu' di samping pelakon lain, Rita Rudaini.


www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Nadia Brian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: