19 April 2021

PELAKON TASH YONG HARAP HATINYA TERUS KEKAL BERTUDUNG & ISTIQAMAH



Pelakon Tash Yong, 31, mengharapkan keputusan hatinya untuk terus kekal bertudung ditetapkan Allah SWT sehingga ke akhir hayat, meskipun belum setahun berhijab. Tash atau nama sebenarnya Nur Natasha Shazlia Rosli, berkata dia sentiasa berdoa untuk istiqamah dalam penghijrahan dirinya ke arah lebih baik serta mendapat keredaan di dunia dan akhirat.

"Saya buat keputusan bertudung ini dengan rela hati pada Aidiladha tahun lalu bukan kerana bimbangkan penularan pandemik Covid-19 dalam negara ketika itu, tetapi melihat pada usia yang makin meningkat. Kita tidak akan kekal muda. Jadi, sampai bila saya harus leka dan tidak cuba memperbaiki diri ke arah kebaikan demi pengakhiran hidup sendiri suatu hari nanti.

"Saya pun tak tahu sehingga bila Allah† pinjamkan nyawa ini. Jadi, saya kena usaha membuat perubahan itu. Walaupun, ada kata-kata dan dakwaan kurang enak dilemparkan terhadap saya dengan penghijrahan ini tapi biarlah apa orang nak cakap. Bagi saya, yang pasti niat hati saya hanya Allah maha mengetahui," katanya.

Turut menepis dakwaan dia berhijab kerana mahu berumah tangga dan memperoleh banyak peluang dalam kerjaya seni kerana sebelum ini agak 'sendu', Tash berkata pendapatan utamanya adalah perniagaan.

"Sejak beberapa tahun lalu saya sudah mula menceburi perniagaan dengan menjual kerepek untuk membantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) di kawasan luar bandar memasarkan produk mereka secara komersial. Alhamdulillah, sambutan dan maklum balas diterima sangat positif. Malah, saya bersyukur dalam perjalanan ini Allah banyak membantu segala perancangan dibuat berjalan dengan lancar," jelasnya.

Tash yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebagai pengacara program Makanpedia terbitan Rockin Rhino untuk saluran TV Okey, berkata dia sentiasa yakin dengan rezeki Allah. Katanya, dalam hidup ini hanya perlu berusaha, doa dan tawakal dengan seikhlas hati.

"Kalau dahulu, saya pernah bimbang jika tiada tawaran berlakon baru yang diterima kerana memikirkan bagaimana nak mengurus komitmen bulanan seperti bayaran kereta, rumah dan bil-bil semasa. Tapi, sekarang Alhamdulillah rezeki dimurahkan dan saya gembira hidup bersederhana.

"Malah, pada Ramadan ini saya bersama pasukan ditubuhkan terbabit dengan aktiviti menghulur sumbangan membantu kira-kira 80 keluarga asnaf serta pusat tahfiz. Tak dinafikan, saya kini lebih banyak terdorong membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan tanggungjawab sosial. Syukur sangat, Allah memberi saya peluang dan kesempatan ini yang membuatkan saya lebih matang dan tenang," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Tash yang pernah dikenali menerusi drama 'Menantu Ting Tong' dan 'Dia' di TV3 sebelum ini, dengan kesibukannya dia tidak terfikir soal jodoh. Katanya, dia juga hingga kini masih tidak mempunyai seseorang yang istimewa.

"Seperti wanita lain, saya juga ada keinginan untuk berumah tangga dan mempunyai keluarga suatu hari nanti. Bagaimanapun, soal jodoh saya harus teliti mencari teman hidup yang boleh membimbing ke arah kebaikan. Ini kerana, saya nak berkahwin biarlah sekali seumur hidup. Ditambah, pengalaman membesar dalam keluarga yang ibu bapa bercerai, kalau boleh saya tak mahu melalui perkara sebegitu dalam rumah tangga," tuturnya.

Menurut Tash lagi, biarpun dia tidak trauma atau berasa takut nak berkahwin kerana pengalaman lalu dalam hubungan 'terkandas' ibu bapanya, dia selesa positif. Katanya dia selalu percaya bahawa kalau ada jodoh, pasti tak ke mana.

Sementara itu, ternyata Tash didapati sudah membuang kesemua foto lamanya ketika tidak bertudung dahulu di akaun media sosialnya seperti Instagram dan Facebook. Katanya, dia dengan rela hati membuang semua foto itu.

"Walaupun, jumlah pengikut saya di Instagram sekitar 126,000 orang saja, alhamdulillah syukur. Bagi saya, cukup dapat berkongsi segala perkara positif dengan mereka seperti aktiviti memasak dan kata-kata motivasi. Setakat ini, kebanyakan pengikut media sosial saya aktif dan mereka memberikan sokongan pada setiap aktiviti bantuan yang dilakukan. Malah, dengan maklum balas diberi itu, saya jadi sangat bersemangat," katanya.

Berbicara juga mengenai kerjaya seninya, Tash berkata dia masih lagi mendapat tawaran berlakon drama dan kebanyakan watak diterima pula sebagai guru dan ustazah. Katanya dia gembira dengan watak sebegitu kerana banyak memberi motivasi yang baik.

"Apapun, saya sekarang semakin jatuh cinta dengan bidang pengacaraan sebenarnya. Alhamdulillah, rezeki mengacara pun ada dan saya pasti enggan melepaskan apa sahaja peluang yang datang. Sejujurnya, jiwa saya sangat selesa apabila mengacara. Setakat ini, saya sudah terbabit mengacarakan dua program TV. Ternyata, ia memberikan pengalaman yang amat berbeza," jelasnya.

Mengenai drama pula, Tash berkata kini karya lakonannya berjudul 'Cinta Untuk Raf' ketika belum berhijab masih ditayangkan di RTM. Selain itu, dia juga membintangi drama 'Mak Abang Nak Kahwin' untuk TV AlHijrah.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: