28 April 2021

SAHKAN HAMIL 4 BULAN ANAK PERTAMA - AYDA JEBAT DEDAH HAMPIR KEGUGURAN



Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat bakal bergelar ibu tidak lama lagi apabila mengesahkan dirinya kini sedang hamil anak pertama, selepas hampir empat bulan mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati, pengacara Nabil Mahir.

Berita gembira tersebut diumumkan Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat, 29, ketika ditemui pada majlis Iftar Bersama Ayda Jebat & Nabil Mahir di Hotel The Majestic, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Jelas Ayda, dia mengambil sedikit masa untuk mengesahkan kehamilannya biarpun sebelum ini berita tersebut didedahkan oleh pihak lain terlebih dahulu.

Klik untuk gambar besar



"Ramai yang tahu saya bekerja dengan banyak jenama. Jadi saya memang memerlukan sedikit masa untuk umumkan kepada mereka supaya urusan kerja seperti penggambaran iklan dapat disusun semula.

"Tapi tidak sangka, berita yang keluar tiba-tiba tempoh hari dibuat tanpa meminta izin daripada kami. Jadi apa yang berlaku sebelum ini, jadikan iktibar kalau tuan punya badan tidak izinkan, kena tahu apa kesan yang boleh berlaku," katanya.

Tambah pelantun lagu 'Parah Parah' itu, akibat berita tersebut, dia hampir keguguran kerana terlalu sibuk bekerja demi mengejar jadual padat dengan jenama yang menggunakannya sebagai duta.



"Saya bekerja lebih masa selepas berita tersebut keluar sehingga hampir keguguran. Saya dimasukkan ke wad kecemasan kerana terlalu tertekan. Malah usia kandungan saya juga masih belum cukup kuat ketika itu," ujarnya.

Ayda dijangka melahirkan anak sulungnya pada Oktober depan: "Alhamdulillah, semoga semuanya dipermudahkan. Mohon semua mendoakan yang baik-baik," tuturnya dipetik sebagai berkata kepada Kosmo.

Untuk makluman, Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu selepas mengikat pertunangan secara dalam talian pada 28 April tahun lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).




www.myartis.com / Sumber: Instagram Ayda Jebat & Nabil Mahir

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: