16 April 2021

"SAYA MASIH BELUM SEMPURNA" - AMYLEA BERTUDUNG DEMI HORMATI RAMADAN



Ramai di antara artis dan selebriti kita memilih untuk bertudung ketika tibanya bulan Ramadan bagi mengejar ganjaran serta mengambil kesempatan di bulan mulia ini untuk memanfaatkannya ke arah kebaikan. Kini giliran penyanyi Amylea Azizan pula mengikut jejak yang sama.

Bukan sahaja terdapat perubahan dari segi luaran dirinya, Amylea berkata, dia ingin memperkuatkan dalamannya sebagai seorang Muslimah.

"Tahun ini memang saya berniat untuk pakai tudung demi menghormati bulan Ramadan. Keluar bazar pun saya akan bertudung. Pada pendapat peribadi saya, pakai tudung ini sangat besar tanggungjawabnya dan saya meletakkan perkara itu di tingkat tertinggi.

Klik untuk gambar besar



"Saya belum mampu nak pakai tudung sepenuhnya sebab saya tahu pemakaian saya masih belum sempurna. Bagi saya adalah lebih baik saya betulkan dalaman saya dahulu kerana itu yang lebih penting," tuturnya.

Sementara itu, ditanya pula berkenaan komen pedas netizen yang akan mengecamnya kerana kembali menanggalkan tudung selepas Ramadan, Amylea mempunyai pendapatnya tersendiri berhubung perkara tersebut.

"Kalau mereka (netizen) mengata saya macam itu, itu sebenarnya adalah ujian buat mereka. Bila mereka kata-kata macam itu, itu yang membuatkan kadang-kadang ada orang takut nak buat perkara baik macam ini.



"Dari perbuatan mereka itu telah menyekat seseorang itu untuk melakukan kebaikan, bagi saya senang sahaja... kalau tiada benda baik nak tulis, baik jangan tulis apa-apa," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan seni, penyanyi lagu 'Kendati' ini bakal tampil dengan dua lagu raya baharu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Bulan Ramadan ini selain saya rebut peluang untuk beribadah, kerja seni pun tidak dilupakan. Saya akan keluar dengan single raya bersama penyanyi di bawah label Seventeen Eleven Music serta lagu raya sendiri," katanya.




www.myartis.com / Sumber & foto: mStar & Instagram Amylea Azizan

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: