Penyanyi Gmie Screen atau nama sebenarnya Hajimi Ibrahim, 50, mengakui kebenaran foto seorang lelaki dalam keadaan sakit yang tular di media sosial adalah dirinya. Namun begitu, Gmie kesal namanya dipergunakan pihak tertentu untuk kepentingan peribadi.
"Saya memang sakit tapi, surat minta sumbangan atau bantuan itu tidak betul. Itu memang saya dan foto berkenan diambil untuk rujukan seorang rakan yang nak tengok keadaan sebenar saya.
"Tapi, tak sangka pula apabila ada yang ambil kesempatan menggunakan foto saya itu beserta surat bantuan sebagai cara minta sumbangan tidak betul. Saya pun tak tahu kenapa dan bagaimana foto itu boleh tersebar luas," katanya.
Menurut Gmie, dia turut sangat kesal perkara ini menjadi heboh kerana hasratnya memang mahu merahsiakan sakit dihidapi daripada pengetahuan masyarakat.
"Saya tak nak nanti orang fikir yang bukan-bukan. Asal artis sakit, pasti nak minta sumbangan atau bantuan. Lagipun sehingga kini, saya masih boleh usaha untuk perubatan dan penyembuhan.
"Itu sebabnya saya tak nak beritahu sesiapa mengenai sakit ini kerana bimbang tersebarnya banyak fitnah. Contoh macam sekarang, orang nak ambil kesempatan dan itu yang saya tak mahu.
"Saya pilih mendiamkan diri. Namun, anak saya Siti Hadirah yang membuat hantaran di laman sosialnya untuk menjelaskan perkara sebenar," ujarnya.
Penyanyi lagu 'Bila Cinta Didusta' ini berkata, penyakit buah pinggang bocor ini dialaminya sejak lima bulan lalu. Gmie berkata dia segera dimasukkan ke Hospital Shah Alam dan ditahan selama sebulan di wad untuk rawatan lanjut.
"Ia berlaku mengejut pada hujung Oktober tahun lalu, kerana kesnya boleh dikatakan satu daripada 200,000 individu. Sangat jarang berlaku, tapi dah ini takdirnya tak apalah kerana saya pun tak nak bising-bising.
"Saya tiada kencing manis dan darah tinggi pun. Boleh dikatakan, sakit ini datang tiba-tiba. Kaki saya berat dan doktor kesan saya kurang garam dan kurang albumin.
"Albumin ialah satu selaput yang menjaga cecair buah pinggang. Namun, selaput itu yang bocor dan doktor beritahu saya kekurangan albumin.
"Saya kini bergantung kepada ubat-ubatan dibekalkan hospital dan pada masa sama, ada juga buat rawatan alternatif secara tradisional. Makan pun dah kena berpantang juga.
"Masalah yang dihadapi sekarang ialah saya dah tak boleh berjalan. Harapnya dengan rawatan yang dibuat bolehlah saya berjalan semula. InsyaAllah, apapun saya sentiasa yakin akan sembuh juga dari sakit ini.
"Allah bagi ujian untuk umat-Nya yang boleh terima sahaja. Alhamdulillah, saya insan yang terpilih dan reda menerimanya. Ini ujian saya dan doakan semoga saya sembuh," tuturnya.
www.myartis.com / Sumber: Harian Metro
________________________
No comments:
Post a Comment