03 April 2021

DR AMALINA SELAMAT BERNIKAH DI LONDON - IBU SIFATKAN MENANTU LELAKI TERBAIK



Pada 31 Mac lalu, Dr Amalina Che Bakri yang merupakan seorang doktor pakar bedah kelahiran Malaysia tetapi berkhidmat di London, United Kingdom (UK), itu telah selamat bergelar isteri kepada seorang jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Central London.

Berita gembira itu diumumkan oleh beliau sendiri menerusi satu perkongsian di laman Instagram, lewat malam Jumaat. Bersama perkongsian tersebut, Dr Amalina memuat naik sekeping gambarnya yang anggun mengenakan busana rona putih rekaan Putraaziz dari Butik Cosry, sementara suaminya pula kacak mengenakan sut.

"Alhamdulillah, upacara nikah dilangsungkan di London Central Mosque pada 31 Mac 2021. Walaupun terpaksa menangguhkan pernikahan kami sebanyak tiga kali kerana 'lockdown', kami berasa lega kerana berjaya mengadakan majlis ringkas yang dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan rapat (enam tetamu sahaja sebagaimana peraturan Covid-19)," tulisnya.

Menurut Dr Amalina, pada awalnya mereka merancang untuk mengadakan majlis resepsi pada Mac di Malaysia dan Jun di United Kingdom, namun perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga semua tetamu dapat turut meraikan bersama-sama.

Klik untuk gambar besar



"Kami tidak sabar untuk meraikan hari bahagia kami dengan orang tersayang dan rakan tidak lama lagi. Amalina dan Alex," tulis Dr Amalina yang sebelum ini mengumumkan pertunangannya dengan jejaka tinggi lampai itu pada Ogos tahun lalu..

Melihat pada ruangan komen perkongsian tersebut ia telah dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada netizen: "Alhamdulillah... tahniah Dr! - "Gembira untuk anda berdua. Tahniah untuk Dr Amalina dan suami. Ucapan moga anda sentiasa bahagia sentiasa. - "Tahniah Dr. Semoga bahagia hingga jannah," demikian antara komen netizen.

Sementara itu, insan yang paling gembira menerima berita pernikahan Dr Amalina itu sudah tentunya ibu beliau sendiri iaitu Sabariah Hassan. Walaupun tidak dapat hadir, ibu Dr Amalina berpeluang menyaksikan detik istimewa itu menerusi panggilan video menggunakan aplikasi Facetime.



Sabariah, 61, berkata, dia mengucapkan kesyukuran apabila majlis pernikahan anaknya itu selesai dan berjalan lancar meskipun tiga kali tertangguh berikutan 'lockdown'.

"Menerusi video, saya berpeluang untuk menyaksikan sendiri pernikahan Amalina dari kediaman saya di Ulu Tiram, Johor. Saya rasakan seperti berada bersamanya ketika itu. Saya tengok dari sebelum majlis, ketika berlangsung dan selepas selesai nikah saya dapat bercakap dengan Amalina dan keluarga Alex (Alexander).

"Perasaan gembira saya bercampur sebak ketika itu, terutama sewaktu dilafazkan Amalina sah bergelar isteri kepada Alex. Sebagai ibu, sudah tentu saya gembira melihat Amalina bertemu jodoh dengan lelaki terbaik buat dia," ujarnya.



Sabariah berkata, pernikahan Dr Amalina itu dibuat setelah mendapat surat kebenaran nikah di luar negara daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj). Mengikut perancangan asal, katanya, Dr Amalina sepatutnya bernikah di Malaysia pada Disember lalu tetapi disebabkan pandemik Covid-19, ia kemudian bertukar lokasi di UK.

"Tiket penerbangan untuk saya ke London sudah pun ditempah dan terpaksa ditunda juga berikutan 'lockdown' di UK beberapa kali. Memang Amalina mahu saya ada sama ketika nikah. Saya pun mahu berada di sampingnya. Tapi atas faktor keselamatan berikutan wabak Covid-19, saya fikir biarlah saudara Amalina di sana wakilkan," jelasnya yang merujuk kepada hanya enam tetamu yang dibenarkan hadir bersama mengikut peraturan Covid-19.

Pesara guru dan bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Tiram di Johor itu turut meluahkan rasa syukur apabila Dr Amalina terbuka hati untuk melangsungkan pernikahan bersama jejaka pilihannya.



"Tiga tahun lalu, masa Amalina umur 30 tahun, saya ada berpesan kepada dia untuk bernikah. Tapi dia mahu memberi tumpuan kepada latihan pakar bedah, kerjaya dan pengajian PhD (Doktor Falsafah) terlebih dahulu.

"Katanya mungkin nak berkahwin pada usia 35 tahun. Saya tidak pernah memaksa Amalina malah menyokong dia, tetapi sekadar menyarankan apa yang terbaik agar ada seseorang yang terbaik dapat menjaganya. Alhamdulillah, Amalina bersedia untuk bergelar isteri pada umur 33 tahun ini," tuturnya.

Mengulas lanjut, Sabariah berpandangan bahawa Alex yang juga berusia 33 tahun sebagai seorang lelaki yang lemah-lembut, baik hati dan bertanggungjawab terhadap Dr Amalina sambil menambah kedua-dua keluarga merestui hubungan mereka.



"Alex seorang lemah-lembut, berhati baik dan menghormati saya sebagai ibu kepada Amalina. Saya bertemu dengannya beberapa kali ketika kunjungan saya ke UK. Bukan sekadar Alex, keluarga dia pun baik-baik. Saya berdoa agar Allah SWT sentiasa memberi kerahmatan kepada Amalina dan suami agar berbahagia ke jannah, dan dikurniakan zuriat yang baik-baik. Semoga kami semua dirahmatiNya," katanya.

Dalam pada itu, Sabariah turut meluahkan rasa rindu menebal terhadap anak tunggal kesayangannya itu, yang kali terakhir ditemuinya pada Hari Raya 2019 ketika pembedahan yang berjaya membuang tumor 200 gram di mulut bayi berusia sembilan bulan, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di sebuah hospital kanak-kanak di London hasil inisiatif Dr Amalina.

"Selepas itu kami masih belum berjumpa disebabkan oleh wabak Covid-19. Ikutkan Hari Raya tahun lepas Amalina bercadang untuk pulang ke Malaysia. Buat masa ini belum ada ketetapan bilakah majlis resepsi Amalina dan Alex di Malaysia, semuanya bergantung kepada perkembangan semasa Covid-19," jelasnya.





www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Instagram Sandra Dianne

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: