07 April 2021

TIADA PILIH KASIH - MENTERI AGAMA JUGA DISIASAT HADIR MAJLIS NIKAH NEELOFA



Berhubung siasatan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) majlis pernikahan selebriti Noor Neelofa dan PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri juga tidak terkecuali daripada dipanggil memberi keterangan.

Difahamkan, Zulkifli dijemput ke majlis nikah Neelofa atau nama penuhnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan PU Riz, 26, bagi memberikan khutbah nikah dan tazkirah ringkas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, Zulkifli merupakan antara individu terawal tampil membantu polis berhubung isu berkenaan.

"Keterangan beliu lebih awal diambil berbanding yang lain kerana kita juga nak pastikan apa yang ditularkan itu betul atau tidak. Maklumat yang diperolehi sedikit sebanyak dapat membantu kita meneliti lebih dalam mengenai apa sebenarnya yang berlaku pada hari berkenaan," katanya.

Klik untuk gambar besar



Pada Isnin, Neelofa dan suaminya yang merupakan seorang pendakwah bebas dan serta pelakon itu tampil memberi keterangan berhubung siasatan kes pelanggaran SOP majlis pernikahannya 27 Mac lalu. Bagaimanapun menurut polis, pihaknya perlu mendapatkan keterangan beberapa lagi ahli keluarga mereka sebelum tindakan lanjut dapat diambil.

Terdahulu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selepas timbul kekecohan bahawa majlis pernikahan mereka gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Mengulas kebimbangan ramai berhubung wujud isu pilih kasih atau 'double standard' terhadap siasatan kes ini kerana ia melibatkan golongan selebriti dan VIP, Mohamad Zainal bagaimanapun menafikannya. Jelas Mohamad Zainal, tiada sebab untuk pihaknya melindungi pihak terbabit jika mereka didapati bersalah.



"Tiada apa-apa kepentingan untuk kita lindung, tindakan akan diambil. Malah kalau kita keluarkan kompaun pun, mereka mampu nak bayar. Jadi tiada sebab untuk kita tak mahu ambil tindakan," jelasnya.

Ujar Mohamad Zainal lagi, siasatan bagi kes yang ditularkan sememangnya memerlukan sedikit masa untuk siasatan berbanding jika pihak berkuasa berada di lokasi pada hari kejadian.

"Kalau masa itu (majlis berlangsung) aduan dibuat, saya percaya pada masa itu juga kompaun akan dikeluarkan. SOP pihak polis adalah sama di mana-mana pun, jika tular kita perlu siasat... tak kira majlis VIP atau orang biasa," ujarnya.



www.myartis.com / Sumber: mStar

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: