"Saya tak tahu nak cakap macam mana... memang sedih sangat. Ibu, nenek, abang ipar, anak buah, adik, dan ibu saudara disahkan positif Covid-19. Nenek saya yang berusia 75 tahun dimaklumkan akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh, hari ini.
"Ahli keluarga yang lain sudah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Sabtu," demikian kata pelakon Nadia Brian yang berkongsi berita sedih apabila enam orang ahli keluarganya disahkan positif Covid-19.
Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 30, memaklumkan mereka yang dijangkiti telah dihantar ke hospital dan pusat kuarantin pada Sabtu.
Klik untuk gambar besar
Sebelum itu, Nadia berkongsi berita tersebut menerusi Instastory miliknya pada malam Sabtu. Dalam rakaman tersebut, Nadia kelihatan sebak sehingga menitiskan air mata kerana terlalu bimbang keadaan keluarganya itu.
Sementara itu, Nadia memberitahu dia sudah menjalani ujian calitan (swab test) baru-baru ini dan keputusannya adalah negatif. Bagaimanapun dia akan melakukan ujian kedua pada Isnin ini bagi memastikan dirinya benar-benar bebas daripada jangkitan virus tersebut.
"10 Mei ini saya kena buat swab test sekali lagi untuk kepastian. Setakat sekarang, saya sihat tak ada sebarang simptom. Saya mohon kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan kesembuhan ahli keluarga saya. Ya Allah... berat sungguh ujian yang diberikan kepada saya.
"Saya juga mendoakan agar semua pesakit Covid- 19 diberikan kekuatan dan ketabahan. InsyaAllah kita sama-sama dapat harungi pandemik ini," ujarnya.
Difahamkan, pelakon drama 'Aku Yang Kau Gelar Isteri' ini dan keluarga melakukan ujian calitan itu selepas adiknya terlebih dahulu disahkan positif Covid-19.
www.myartis.com / Sumber: Instagram Nadia Brian
________________________
No comments:
Post a Comment