25 May 2021

7 TAHUN IBU TUNGGAL - LIZA ABDULLAH TAK TOLAK JODOH, SEKALIPUN ISTERI KEEMPAT



"Kahwin adalah kerja Allah dan siapa yang tak nak kahwin kan! Kalau kita perhatikan, kebanyakan artis senior kita pada penghujung usianya hidup berseorangan. Kalau ditanya berkenaan jodoh, kita tidak boleh menidakkan jodoh yang datang.

"Kalau Allah kata pengakhiran hidup saya akan solo selama-lamanya saya akan terima. Namun jika Allah hadirkan seseorang saya akan tengok terlebih dahulu samada boleh terima atau tidak," itulah kata pelakon Liza Abdullah.

Liza yang bercerai dengan bekas suami, Zolkifli Abdul Rahman pada 2014 itu sudah tujuh tahun melayari kehidupan sebagai ibu tunggal dan ianya bukanlah satu tempoh masa yang singkat.

Bohong jika pelakon berusia 56 tahun ini tidak mahu berkahwin lagi untuk mencari seseorang yang dapat menemani hari depannya. Bagaimanapun Liza atau nama sebenarnya Norliza Abdullah realistik bahawa soal jodoh dan maut adalah ketentuan Allah SWT.

Menurut Liza, ada ketika terdetik dihatinya menyukai seseorang, namun tidak diizinkan Allah atas sebab-sebab tertentu. Liza yang popular menerusi watak Mak Leha dalam drama rantaian '7 Hari Mencintaiku' itu mengakui, sekiranya ditakdirkan dia bergelar isteri keempat, dia perlu menerimanya dengan hati terbuka.

Klik untuk gambar besar



"Tak dinafikan saya ada juga kenal dengan beberapa orang lelaki tapi sekadar untuk berkawan dan mengenali hati budi terlebih dahulu. Kalau saya bercakap, mungkin isu ini agak sensitif mengenai soal bermadu atau poligami.

"Saya bukan nak mengata kerana bimbang nanti mereka yang anti poligami cari saya. Sebenarnya sejak saya muda remaja, siapa yang nak kahwin dengan suami orang atau berkawan dengan kekasih orang. Saya tak berniat pun tapi itulah datangnya ujian dalam hidup kita.

"Dalam keadaan umur sekarang, saya rasa bukan tiada pilihan. Apa yang penting saya nak yang terbaik dalam hidup. Kita diuji dengan macam-macam. Ada yang jadi nombor satu pun belum tentu bahagia. Kalau sudah takdir jadi bini nombor empat maka takdirlah.

"Mungkin saya bercakap begini tapi kesudahannya tak kahwin juga. Tapi jika Allah hadirkan, saya selalu minta agar itu ialah pilihan Allah. Sebenarnya jodoh ialah pilihan kita. Kalau kita tengok sejak awal lagi ada masalah, kenapa nak terima juga," ujarnya dipetik sebagai berkata.


Liza yang mendirikan rumah tangga pada 1988 dan mempunyai empat anak berkata, semua anak semakin membesar dan akan mempunyai keluarga sendiri nanti.

"Anak yang kita besarkan tidak selama-lamanya akan duduk atau tidur dengan kita. Mereka boleh teman kita, jaga kita tapi mereka juga ada kehidupan sendiri nanti.

"Saya rasa tak boleh terima jika ada yang kata orang tua 'getik' terhadap golongan berusia yang bercinta. Saya tak pernah menidakkan jodoh orang usia 70 atau 80 tahun.

"Kerja kita memanglah hiburkan orang. Bohonglah jika saya tak rasa sunyi. Ada masa-masanya kita akan kesunyian. Untuk hilangkan rasa sunyi itu, saya sibukkan diri dengan bekerja," akhirinya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: