26 May 2021

ADA SEJARAH MASALAH JANTUNG - PELAKON 'SPANAR JAYA', RAMASUNDRAN RENGAN MENINGGAL DUNIA



Kira-kira pukul 2 pagi Rabu, pelakon dan pelawak veteran yang terkenal dengan watak Rajoo dalam sitkom 'Spanar Jaya' iaitu Ramasundran Rengan telah meninggal dunia pada usia 57 tahun di Hospital Kuala Lumpur.

Berita sedih pemergian Ramasundran atau Rama disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah dan dikongsi menerusi laman Facebook persatuan itu.

"Kita kehilangan seorang pelakon, pelawak, penyanyi, pengarah yang sangat dedikasi dan komited dengan kerja. Rama telah meninggal dunia antara pukul 2 pagi hingga 2.30 pagi tadi.

Klik untuk gambar besar



"Beliau dibawa ke hospital pada pukul 12 malam akibat bengkak dikaki namun sejurus menerima rawatan mendiang mengalami sesak nafas dan proses CPR dilakukan... sejam kemudian doktor mengesahkan Rama telah tiada.

"Sebelum ini, mendiang pernah mempunyai sejarah masalah jantung. Pemergiannya meninggalkan kenangan manis kepada semua sahabat-sahabat. Salam takziah buat isterinya Kamala dan keluarga. Selamat tinggal Rama, semoga tenang di sana," katanya.

Sementara itu, rakan selebriti Sheila Mambo turut mengucapkan takziah dan menyifatkan Ramasundran atau lebih mesra dipanggil Rama sebagai seorang sahabat yang baik dan berbudi bahasa.


"Kau orang baik Rama... manusia penuh budi bahasa. Selamat jalan sahabat. Salam takziah buat ahli keluarga mendiang," tulis Sheila.

Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Ramasundran mula dikenali menerusi sitkom terkenal 'Spanar Jaya' dan 'Jangan Ketawa' pada tahun 1999.

Untuk rekod, mendiang merupakan Naib Presiden Persatuan Teater Malaysia, Penolong Setiausaha Yayasan Artis Veteran Malaysia, dan aktif bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: