21 May 2021

DISIASAT DAKWAAN TAK PAKAI PELITUP MUKA - NEELOFA & SUAMI TIDAK DIKENAKAN TUDUHAN RENTAS NEGERI



Nampaknya sekali lagi selebriti popular, Noor Neelofa disiasat dan kali ini berhubung dakwaan dia tidak memakai pelitup muka di sebalik niqab selepas menjadi bualan ramai. Hal ini mula menjadi perdebatan apabila sekeping gambar ketika hadir di Mahkamah Majistret Seremban menampakkan bayangan mulut dan hidungnya tular di media sosial.

Menurut laporan media, polis akan menjalankan siasatan terhadap Neelofa yang didakwa mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka di Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis. Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, pihaknya telah menerima laporan berhubung isu yang sedang diperkatakan itu.

"Laporan polis diterima kerana tindakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka seperti mana diwajibkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada semua orang. Ini termasuklah kepada mereka yang mengenakan niqab penuh atau separuh.

Klik untuk gambar besar



"Polis tidak akan berkompromi dalam mengambil apa jua tindakan bagi memastikan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan peraturan yang ditetapkan oleh KKM sentiasa dipatuhi," jelasnya dipetik sebagai berkata.

Katanya, penjelasan mengenai arahan tersebut telah dikeluarkan KKM dan kerajaan telah menguatkuasakan arahan bermula 1 Ogos tahun lalu. Berhubung hal ini, satu siasatan telah dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Sementara itu, ramai yang tertanya-tanya mengapa kehadiran Neelofa dan suaminya ke mahkamah kelmarin hanyalah kerana kesalahan tidak mengimbas MySejahtera selain tidak memakai pelitup muka dan bukannya kerana isu yang lebih penting iaitu merentas negeri.



Terbaru, Pejabat Peguam Negara membuat keputusan untuk tidak mengenakan tuduhan rentas negeri terhadap selebriti pasangan itu berdasarkan kajian dan keterangan yang diambil berdasarkan kes tersebut. Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman,

"Isu rentas negeri membabitkan Neelofa dan suaminya tidak dibawa ke mahkamah selepas mengambil kira kajian dilakukan Pejabat Peguam Negara. Kajian dan keputusan itu telah dibuat terlebih dulu berdasarkan keterangan yang ada," katanya.

Sebelum ini, pasangan ini mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dikenakan dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000. Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Jun sebagai tarikah sebutan semula kes.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: