10 May 2021

KES GADUH DENGAN LAN PET PET - PENGHANTAR MAKANAN BELUM LAPOR POLIS



Berhubung kes pergaduhan dengan pelawak dan pelakon, Lan Pet Pet sehingga tular di media sosial, pekerja syarikat penghantar makanan yang terbabit belum tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, sehingga kini penunggang motosikal terbabit belum tampil membuat laporan polis.

"Sehubungan itu, polis meminta supaya individu terbabit tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan," ujarnya dipetik sebagai berkata kepada media.

Sebelum ini, ada laporan mengatakan polis sudah menerima laporan dibuat Lan Pet Pet berhubung pergaduhan membabitkannya dengan pekerja syarikat penghantar makanan yang tular di media sosial.

Menerusi video dirakam pengguna jalan raya itu, ahli kumpulan Senario itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya. Pada masa sama, Lan ditenangkan tiga lagi lelaki daripada terus memukul lelaki itu dalam kejadian di tepi jalan raya itu.

Dalam keadaan marah, Lan turut menjerkah lelaki itu dengan kata-kata berbaur amaran, 'hang duduk Tropicana nak tunjuk samseng kat aku. Hang tau dak aku sapa?'

Sebelum ini, Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 51, mencetuskan kegemparan ramai apabila memukul seorang pengawal keselamatan, Yahya Manap atau Pak Ya, 71, pada 6 April 2019.

Dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban pada 15 April 2019 selepas mengaku bersalah terhadap perbuatan yang dilakukan di Acacia Park Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: