31 May 2021

KETIKA PULANG DARI STUDIO RAKAMAN - ANAK AMYZA AZNAN TERLIBAT KEMALANGAN



"Andre kemalangan ketika kami dalam perjalanan pulang ke rumah dari studio rakaman. Ketika itu, kami pulang secara berasingan... Andre pulang dengan kawan dia menaiki motosikal. Kemalangan itu berlaku di kawasan perumahan saya... ada sebuah kereta nak masuk simpang tak beri signal dan tiba-tiba terus melanggar anak saya dan rakannya.

"Nasib baik kemalangan itu tidak melibatkan nyawa dan mereka pun tak alami kecederaan yang serius. Tapi Andre alami luka-luka di sebelah kiri... kaki kiri dia pun habis penuh luka sebab terjatuh," cerita pelakon Amyza Aznan mengenai anak sulungnya, Andre Mikhail yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari studio rakaman pada malam, Ahad.

Berkongsi mengenai perkara itu, pelakon berusia 45 tahun ini memberitahu Andre, 18, ketika itu membonceng motosikal bersama rakannya dilanggar sebuah kereta di kawasan perumahan mereka di Ampang. Menurut Amyza, dia bersyukur kemalangan tersebut tidak melibatkan nyawa namun anaknya mengalami kecederaan ringan di sebelah kiri badan.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, pelakon drama 'Budak Tebing' ini berkongsi berita sedih mengenai anaknya terlibat dalam kemalangan menerusi laman Instagram miliknya pada malam, Ahad. Rata-rata netizen serta rakan selebriti turut meluahkan rasa simpati dengan keadaan anak lelaki pelakon itu dan mendoakan agar Andre cepat sembuh.

Dalam pada itu, Amyza memberitahu dia mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis terhadap individu yang melanggar anaknya kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu. Bagaimanapun, Amyza menasihati semua pemandu kenderaan agar sentiasa menggunakan signal setiap kali untuk keluar simpang supaya tidak menyusahkan orang lain.


"Sudah tentu hati mak yang rasa sakit melihat keadaan anak. Tapi saya bersyukur dia tak alami kecederaan yang teruk atau serius. Sekarang ini, dia hanya berehat sahaja di rumah. Kami sekeluarga mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang laporan polis kerana tidak mahu memanjangkan isu ini. Tapi saya mohon agar semua orang yang memandu, berilah signal... jangan selfish!" ujarnya.

Pada Oktober 2019, Amyza diuji apabila suaminya Khiaril Idzhar Mohd Nadzir lumpuh selepas diserang angin ahmar. Untuk makluman, Amyza mendirikan rumah tangga dengan Khairil Idzhar pada tahun 2004 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Andre Mikhail, 18, Andrian Adam, 15, dan Ayden Andika, 9 tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: