07 May 2021

PENYANYI BAHARU ALIFF ISKANDAR TIGA KALI PENGSAN DI RUMAH, DISAHKAN POSITIF COVID-19



"Memang saya alami demam panas, sesak nafas, batuk dan sakit kepala pada waktu itu. Saya pengsan tiga kali di rumah. Tapi saya tak tunggu lama dan terus melakukan ujian calitan sebab saya tak pernah alami macam itu.

"Bila dapat sahaja keputusan, klinik tersebut terus memaklumkan kepada KKM dan ambulans pun datang ambil malam itu juga untuk dikuarantin di MAEPS Sedang," kata penyanyi baharu, Aliff Iskandar.

Selepas mengalami beberapa simptom antaranya demam panas, sesak nafas, batuk dan sakit kepala pada 28 April lalu, Aliff telah disahkan positif Covid-19.

Menurut Aliff, dia mengambil langkah untuk melakukan ujian calitan Covid-19 selepas keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga pengsan tiga kali di rumah.

Klik untuk gambar besar



Selepas dimaklumkan keputusan ujian tersebut positif, Aliff terus dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Terdahulu, syarikat pengurusan Indigital Music berkongsi mengenai berita Aliff atau nama sebenarnya Nor Aliff Iskandar Norazmi dijangkiti wabak itu di laman Instagram rasmi mereka.

Dalam pada itu, penyanyi runut bunyi drama 'Perempuan Tanpa Dosa' berjudul 'Perit' ini memberitahu keadaan dirinya kini semakin pulih dan menerima rawatan serta layanan yang baik di pusat kuarantin tersebut.

"Memang keadaan saya agak lemah pada peringkat awal. Tapi beberapa hari kemudian semuanya semakin baik dan saya dapat rasakan perubahan itu. Saya beruntung kerana tidak mengalami komplikasi yang serius seperti segelintir orang.


"Di sini saya diberikan layanan baik dan kami sama-sama membuat pelbagai aktiviti seperti mana yang disarankan oleh petugas kesihatan. Jangan takut, semuanya akan baik-baik sahaja," ujarnya.

Biarpun sehingga kini tidak mengetahui punca bagaimana dijangkiti wabak itu, Aliff tetap memohon maaf kepada rakan-rakannya yang terpaksa melakukan kuarantin.

"Saya minta maaf kerana menyusahkan rakan-rakan yang lain. Tidak ada siapa mahu menerima dugaan sebegini tapi saya reda. Ramai yang menitipkan doa dan kata-kata semangat terutamanya keluarga dan sahabat yang tahu perkara ini.

"Untuk mereka yang berada di luar sana, jaga diri, jaga jarak dan ikut SOP yang ditetapkan. Kalau kita jaga diri, Insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: