06 May 2021

SELAMAT NIKAH - RAFIDAH IBRAHIM KINI ISTERI BEKAS PENGURUS



Pada jam 3.30 petang semalam, pelakon dan usahawan iaitu Rafidah Ibrahim atau Fida, 35, telah melangsungkan pernikahan dengan bekas pengurusnya Shahzemir Shahzulkarib, 37.

Pasangan yang sudah berkenalan lebih 10 tahun itu bernikah di Masjid Jamek Kampung Baru, dalam majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Fida berkata, dia bersyukur kerana hasratnya mahu bergelar isteri dan bernikah dengan lelaki pilihan akhirnya menjadi kenyataan. Dia juga bersyukur kerana semua urusan berjalan lancar.

"Saya dan suami meminta maaf kerana tidak dapat menjemput semua ahli keluarga kami serta sahabat-sahabat berikutan situasi pandemik Covid-19 sekarang. Semuanya kena mengikut SOP dan tetamu pun terhad.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, kami sangat bersyukur majlis akad nikah dapat dilaksanakan sebaiknya. Saya juga mohon doakan kebahagiaan kami yang mengikat ikatan perkahwinan pada bulan Ramadan ini. Semoga dengan doa-doa baik diberikan akan mendapat rahmat dan berkat Allah SWT," tuturnya dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Tidak berkongsi siapa calon suaminya sebelum ini, Fida menjelaskan, dia berbuat demikian kerana menghormati permintaan keluarga dan tidak bagus terlalu dihebahkan begitu awal.

Apa yang lebih bermakna, Fida memberitahu dia dapat memakai baju kebaya yang dijahit sendiri oleh Allahyarham ibunya.



"Walaupun arwah mak sudah meninggal dunia empat tahun lalu, tapi bagi saya dia tetap ada di majlis pernikahan ini. Saya tidak sangka akhirnya dapat juga tunaikan impian mak yang nak saya berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Selama hampir 20 tahun baju kebaya ini disimpan dengan rapi.

"Sebenarnya sudah lama juga saya nak berkahwin. Namun, ketentuan jodoh setiap orang itu ada yang cepat dan lambat. Bagaimanapun, Alhamdulillah dapat juga saya pakai baju kebaya yang memang dijahit oleh arwah mak untuk majlis nikah saya," ujarnya.

Fida yang enggan berkongsi jumlah wang hantaran diterima itu berkata cukuplah kini masyarakat tahu dia sudah bernikah dan kini berstatus isteri orang. Katanya, paling utama hubungan itu direstui Allahyarham ibunya sebelum meninggal dunia pada 4 Mei 2017.

Fida yang pernah dikenali dengan drama 'Cinta Tikar Sejadah' dan filem 'Adik Manja Returns', adalah pengasas perniagaan R Secrets Sdn Bhd. Dia juga popular dengan lagu 'Apo Kono Eh Jang' 2012.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: