05 May 2021

SYANIE KECEWA JUMLAH PENGIKUT IG DIBANDINGKAN: "TAKKANLAH KREDIBILITI SAYA DILETAK BEGITU RENDAH..."



"Kalau saya boleh bertahan selama 30 tahun maknanya adalah kerja saya yang memang bagus. Bukan nak cakap saya hebat, tapi jika saya boleh bertahan selama ini, takkanlah kredibiliti saya diletak begitu rendah dengan dibandingkan dengan jumlah pengikut di Instagram.

"Saya sangat kecewa apabila ada pengurus produksi yang bertanyakan jumlah pengikut Instagram saya untuk watak yang ingin ditawarkan. Saya ini bukanlah pengguna yang pandai menggunakan media sosial dan saya tak akan buat kandungan yang mengarut.

"Walaupun saya tahu kandungan yang bukan-bukan ini cepat mendapat perhatian dan boleh menaikkan jumlah pengikut tapi itu bukan prinsip hidup saya.

"Pengikut yang ada sekarang adalah pengikut setia dan bukan dibeli," itulah kata pelakon Syanie yang terkilan apabila ada tawaran lakonan yang diberikan diukur berdasarkan jumlah pengikut di Instagram berbanding kredibilitinya sebagai pelakon yang sudah hampir tiga dekad dalam industri hiburan.

Klik untuk gambar besar



Menurut Syanie, dia tidak jelas siapa sebenarnya yang mahu melihat jumlah pengikut walaupun tawaran yang diberikan kepadanya hanyalah watak sampingan.

Syanie berkata, terpulang kepada syarikat produksi jika mahu memilih pelakon berdasarkan jumlah pengikut, tetapi kebanyakan individu yang memiliki jumlah pengikut ramai itu hanya boleh berlakon untuk kandungan media sosial mereka saja tapi bukan untuk drama.

Tambah Syanie, jika syarikat produksi masih menilai bakat seninya bersandarkan jumlah pengikut di Instagram sampai bila pun dia tidak berpeluang berlakon kerana tidak mampu berlawan dengan jumlah pengikut pelakon lain yang jauh lebih ramai. Lebih menyedihkan, Instagram peribadi Syanie yang memiliki hampir 80,000 pengikut baru saja digodam individu tidak dikenali baru-baru ini.



"Bagi saya tak perlulah pelakon seperti saya diukur berdasarkan jumlah pengikut. Alasannya sebab nak hantar kertas cadangan ke stesen TV. Kalau macam itu, sampai bila-bila pun saya susah nak dapat tawaran berlakon sebab nak lawan dengan artis-artis sekarang yang jauh lebih tinggi pengikut mereka. Siapalah saya ini.

"Kredibiliti seseorang pelakon perlu diambil kira. Kalau watak utama nak tengok jumlah pengikut saya boleh terima, tapi kalau watak sampingan pun macam itu, susahlah.

"Namun saya bersyukur apabila penyanyi Mawi menawarkan saya berlakon filem Hantu Kuat Ketawa di samping pelawak popular Saiful Apek. Saya terus bersetuju tanpa mengetahui bayarannya. Lakonan adalah jiwa saya dan saya sangat rindukan kerjaya ini selepas hampir tiga tahun tiada tawaran berlakon," ujarnya dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: