03 May 2021

"TIADA SEBARANG AKTIVITI RENTAS NEGERI BERLAKU" - SITI NURHALIZA & SUAMI MOHON MAAF



Baru-baru ini, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Dato' Sri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K telah mengadakan majlis aqiqah, maulid dan tahnik untuk anak kedua mereka, Muhammad Afwa Khalid, pada 26 April lalu.

Bagaimanapun, majlis tersebut mencetuskan pertikaian warganet dimana mereka didakwa gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain berlakukan aktiviti rentas negeri kerana mengundang salah seorang tetamu yang difahamkan menetap di luar Kuala Lumpur.

Menerusi laman Instagram, pasangan telah tampil memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan. Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan, Siti dan suaminya menjelaskan, tiada sebarang aktiviti rentas negeri yang berlaku. Ini kerana kata pasangan ini, kebetulan pendakwah terbabit bersetuju untuk hadir kerana berada di Kuala Lumpur ketika majlis tersebut dianjurkan.

"Dakwaan ini ditimbulkan apabila kami mengundang seorang pendakwah bebas dari negeri lain sebagai tetamu. Di sini kami ingin memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku. Sebaliknya individu itu bersetuju untuk hadir kerana kebetulan dia memang berada di Kuala Lumpur pada tarikh majlis diadakan.

Klik untuk gambar besar





"Memandangkan acara itu dibuat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), atur cara majlis dan bilangan tetamu yang hadir mematuhi syarat penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang tertakluk pada tempoh itu," jelasnya.

Pasangan tersebut pada masa sama turut mendedahkan, majlis berjalan di dalam tiga sesi berbeza dan tetamu juga diterhadkan selain turut menjelaskan keberadaan Menteri Agama pada hari berkenaan.

"Majlis juga terbahagi kepada 3 sesi dengan bilangan tetamu terhad, dihadiri keluarga terdekat serta kumpulan Mawlid untuk mengambil keberkatan fadhilat sunat mengadakan tahnik dan memberi nama kepada anak pada hari ke-7 mengikut sunnah Rasulullah.



"Mengenai acara tahnik sebelah siang yang dihadiri Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, ia bukanlah majlis khas seperti yang disangka. Sebaliknya beliau hanya singgah untuk menyempurnakan bacaan doa dan tahnik sahaja sebelum terpaksa bergegas pulang untuk urusan lain.

"Sebagai rakyat Malaysia yang patuh pada undang-undang dan peka dengan situasi semasa, kami tidak pernah memandang ringan mengenai hal ini dan selagi berada dalam kawalan, kami cuba untuk mematuhinya semampu mungkin," katanya.

Kenyataan yang diedarkan kepada media itu turut bertujuan menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang telah berlaku. Kenyataan sama turut dikongsikan di laman Instagram penyanyi Anta Permata itu, hari ini.



"Penjelasan ini bukanlah untuk mempertahankan diri tetapi bertujuan memberikan pencerahan terhadap beberapa perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham terhadap pihak tertentu. Kesempatan ini juga kami ingin memohon maaf jika apa yang berlaku ini menerbitkan rasa kurang senang kepada mana-mana pihak.

"Kami memahami, berlapang dada dengan setiap teguran yang diberikan. Kami juga bersedia untuk memberi sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.

"Ini merupakan kenyataan terakhir daripada kami mengenai isu ini dan berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dan difahami dengan baik," tulisnya lagi.




www.myartis.com / Foto: Instagram Siti Nurhaliza

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: