28 May 2021

UNCLE KENTANG BAKAL TERIMA ANUGERAH RATU ELIZABETH II - MAHU KOLABORASI DENGAN USTAZ EBIT LEW



Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang yang sering terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan itu tidak menolak sekiranya berpeluang untuk bergabung tenaga bersama Ustaz Ebit Lew.

Terlibat dalam aktiviti kebajikan sejak lebih 10 tahun yang lalu, difahamkan Uncle Kentang telah mendapat pengiktirafan 'Point of Light' daripada Ratu Elizabeth II, di mana anugerah tersebut diberikan kepada individu dalam negara anggota Komanwel sebagai tanda pengiktirafan atas kerja sukarelawan yang telah menyumbang dalam komuniti.

Kuan Chee Heng menganggap dirinya hanyalah 'insan kerdil' jika mahu dibandingkan dengan aktivis kemanusiaan terkenal yang lain. Tambah Kuan, dia sangat mengagumi figura Ustaz Ebit Lew dan tidak menolak sekiranya diberikan peluang untuk berkerjasama dengan pendakwah bebas itu.

Klik untuk gambar besar



"Saya buat secara kecil kecilan. Memang Ustaz Ebit adalah satu ikon negara dalam amal jariah. Saya memang menggalakkan mana-mana NGO untuk kita sama-sama membanting tulang untuk membuat yang terbaik untuk Malaysia. Kalau diizinkan Tuha.. semua ini takdir. Kun Fayakun, akan jadi maka akan jadilah ia. Kita serahkan kepada tuhan dan kita buat apa yang boleh, kita buat," ujarnya.

Dia yang mempunyai hampir 620,000 pengikut di Facebook itu dikenali dengan aktiviti turun padang memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan serta turut menyediakan perkhidmatan ambulans dan van jenazah.



Ketika ditanyakan mengenai perasaan apabila menerima pengiktirafan sedemikian rupa, Kuan berkata dia tidak pernah mengharapkan balasan dan sangat berbesar hati untuk menerimanya.

"Memang tak sangka.. kita buat kerja ni suka-suka je bukan nak dapat pengiktirafan atau sijil. Bila kita beri sumbangan makanan atau ikan, makcik yang dapat ikan pun gembira. Apa lagi yang kita mahu? Makcik tu iktiraf kita pun, kita dah senyum dah..," ujarnya panjang lebar.

Sekadar info, Kuan Chee Heng dijadualkan akan menerima penganugerahan berkenaan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir Ratu Elizabeth II pada 10 Jun ini.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: