09 June 2021

"AMAT MEMALUKAN..." - NEETA BUAT LAPORAN POLIS ISU TULAR VIDEO TIKTOK 'SALAH PARKING'



Baru-baru ini, tular sebuah video TikTok yang dikatakan menjatuhkan maruah penyanyi Neeta Manis sebagai seorang wanita. Dek kerana itu, Neeta yang juga pengacara bersama syarikat rakamannya, Nar Records Sdn. Bhd. telah tampil membuat laporan polis terhadap seorang pengamal media itu.

Dalam video tular tersebut, tertulis ayat 'salah parking' yang didakwa merujuk kepada rakaman Neeta atau nama sebenarnya Neeta Manishaa Manogaran, 27, sedang membetulkan pakaiannya ketika proses rakaman program All Together Now Malaysia baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Ketua Bahagian Pemasaran Nar Record, Becky Zulkepli memberitahu keputusan laporan polis dilakukan kerana video tersebut telah menjatuhkan maruah pelantun lagu 'Ruang Mimpi' itu sebagai seorang wanita. Lebih mengecewakan, individu itu juga masih belum memadam video tersebut meskipun isu berkenaan sudah tular dalam media sosial.

Klik untuk gambar besar



"Video itu amat memalukan dan menyentuh sensitiviti serta maruah Neeta sebagai wanita. Dengan niat atau tujuan apa individu terbabit masih tidak dapat dipastikan kerana usaha untuk menghubunginya gagal dan tiada sebarang maklum balas diberikan sehingga kini.

"Dia seolah-olah tidak mengambil peduli langsung dengan kejadian ini. Mungkin bagi sesetengah orang, perkara ini kecil tetapi pihak pengurusan menyelar perbuatan tersebut kerana telah mengundang kecaman dan tomahan orang terhadap anggota tubuh badan serta diri Neeta sendiri," ujarnya.


Sementara itu, Neeta dalam kenyataan sama mengakui sangat terkilan dengan tindakan individu terbabit: "Terkilan kerana yang melakukannya ialah seorang pengamal media yang tinggi juga jawatannya dalam bidang ini. Tujuan Neeta mengambil keputusan untuk membuat laporan polis atas desakan pengurusan juga bukanlah ingin memperbesarkan isu atau mengadu domba.

"Laporan polis ini sebagai tanda peringatan terhadap individu itu termasuklah semua netizen agar menggunakan media sosial dengan betul. Bukannya untuk mengecam, memalukan dan membuli. Semua kesalahan ini tertakhluk di bawah Akta 588 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," jelasnya.

Terdahulu, bekas peserta program Big Stage musim kedua itu meluahkan rasa kesal apabila seorang pengguna TikTok yang juga pengamal media memuat naik rakaman video memaparkan dia sedang membetulkan baju dipakainya dalam program All Together Now Malaysia yang disiarkan pada Ahad lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: