01 June 2021

ANZALNA NASIR SAMBUT BIRTHDAY KE-2 PUTERANYA BERSAMA ANAK YATIM SECARA 'ONLINE'



Pada Isnin, pelakon Anzalna Nasir telah menyambut ulang tahun kelahiran yang kedua anak tunggalnya, Mohamad Eidrees. Usaha Anzalna memberikan keceriaan buat anak-anak yatim apabila mengadakan majlis hari lahir puteranya bersama mereka secara 'online' menerima pujian.

Menurut Anzalna atau nama sebenarnya, Nur Anzalna Md Nasir, 33, dia dan suaminya, Hanif Zaki sekadar mahu berkongsi kegembiraan dan kasih sayang dengan anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Qaseh, Taman Melawati, Kuala Lumpur.

"Pada mulanya, kami merancang untuk adakan majlis sambutan ulang tahun Eidress di sebuah hotel tetapi disebabkan PKP, kami tunda dahulu plan itu.

"Tapi kami nak juga buat sambutan untuk Eidrees, saya dan suami berbincang memandangkan kami memang rapat dengan mereka (anak-anak yatim Nur Qaseh), jadi kami nak berkongsikan kegembiraan dengan mereka sekali.

Klik untuk gambar besar



"Budak-budak suka kek, aiskrim dan belon itu yang kami terfikir untuk buat majlis dengan mereka sama-sama tolong doakan Eidrees. Semalam (Isnin), saya dan suami hanya hantar makanan dan belon dan kami sama-sama sambut secara online dengan mereka," katanya.

Anzalna berkata tujuannya berkongsi video tersebut bukan bertujuan untuk mendapat pujian sebaliknya untuk sama-sama mengajak pengikutnya agar tidak melupakan golongan memerlukan lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang.

"Sebenarnya, saya dan suami tak berharap pun orang puji... sebaliknya untuk mengajak orang ramai jangan lupa golongan memerlukan. Sekiranya ada rezeki lebih, kita jangan lupa untuk berkongsi.



"Alhamdulillah, semua komen positif yang saya terima, tiada pula yang kata saya nak show off atau apa. Saya percaya setiap kali kita memberi, tidak akan putus rezeki kita, insyaAllah," ujarnya.

Sementara itu, berkongsi tentang aktivitinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, pelakon drama 'Dendam Aurora' itu berkata dia banyak menghabiskan masa dengan Eidrees memandangkan anaknya itu kini sudah semakin aktif.

"Sekarang setiap hari ada sahaja aktiviti yang saya buat dengan Eidrees... ada ketika saya buat aktiviti melukis, mewarna dan berenang dengan dia.



"Selain itu, saya juga ada juga berborak dengan Eidrees guna Bahasa Perancis, saya boleh bertutur dalam bahasa itu, rugi pula kalau tak ajar dia.

"Bagi saya, kalau boleh saya nak anak saya kuasai pelbagai bahasa yang ada kerana ia merupakan satu kelebihan untuk seseorang kalau dia tahu bertutur banyak bahasa asing... kalau boleh saya nak dia tahu lebih daripada tiga bahasa," tambah Anzalna lagi.

Untuk makluman, Anzalna berkahwin dengan ahli perniagaan Mohamad Hanif Zaki, 33, pada 21 Februari 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Eidrees yang genap berusia dua tahun pada Isnin.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: