02 June 2021

ENOT NAFI BANGGA, RIAK KENA COVID-19: "SALAH SATU CARA KUATKAN SEMANGAT SAYA"



"Saya hanya cakap kalau tiga tahun saya boleh berdepan kanser, setakat 14 hari mesti saya boleh juga. Namun, kenyataan saya itu disalah erti segelintir pihak yang mengatakan saya riak dan bangga sedangkan itu adalah salah satu cara untuk menguatkan semangat saya. Kalau saya mati siapa nak jaga anak? Saya bukannya ada mak dan ayah lagi. Jadi, saya kena kuatkan semangat dan melawan penyakit ini.

"Wabak ini ibarat meletakkan parang ke leher kerana kita tak boleh nampak. Apa-apa saja boleh berlaku," demikian kata pelakon dan pelawak Enot yang kecewa dengan komen netizen yang mengatakan dirinya berbangga dan riak apabila mampu berdepan tempoh kuarantin selama 14 hari selepas disahkan positif Covid-19, Ahad lalu kerana pernah berjuang melawan kanser selama tiga tahun sebelum ini.

Enot berkata, apa yang dikongsikan adalah salah satu cara untuk dirinya menaikkan semangat bagi melawan virus berbahaya selain cuba untuk berfikiran positif walaupun hakikatnya agak sukar. Menurut Enot, dia disahkan positif virus itu selepas menjadi kontak rapat salah seorang kru produksi penggambaran drama, baru-baru ini.

Katanya, dia mengalami gejala seperti demam, batuk, muntah dan cirit-birit selepas dua hari melakukan ujian calitan: "Ketika kru terbabit memaklumkan dirinya positif selepas berjangkit dengan abangnya, saya terus membuat ujian calitan dan keputusannya negatif.

Klik untuk gambar besar



"Namun, saya tetap menjalani kuarintin dan pada hari kedua saya sudah mula demam, batuk, cirit-birit dan muntah. Saya kuarantin seperti biasa dan sepanjang tempoh itu memang keadaan saya lemah. Selepas seminggu, Sabtu lalu saya buat ujian calitan dan esoknya dapat keputusan positif," ujarnya.

Tambah Enot lagi, bagi memastikan dia berada dalam keadaan baik, dia sentiasa membuat pemeriksaan darah tinggi, kencing manis dan tahap oksigen. Ujar Enot, dia sudah memaklumkan perkara ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan sedang menjalani kuarantin di dalam bilik.

"Kalau nak dibandingkan dengan minggu lalu, keadaan saya sekarang semakin baik cuma deria bau saja tiada lagi. Selain itu, saya mudah penat. Saya tinggal bertiga bersama anak dan sepupu. Alhamdulillah, keputusan ujian calitan mereka negatif," jelas Enot yang pernah menghidap kanser usus pada 2013 dan kini sudah bebas daripada penyakit itu.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: