"Setahu saya setiap orang yang dijangkiti Covid-19 akan mengalami gejala berbeza. Ada yang tiada gejala langsung dan itu sebenarnya lagi bahaya kerana dia sendiri tidak tahu sudah positif virus itu," itulah kata pelakon Marsha Milan yang mengesahkan dia memang dijangkiti Covid-19 pada awal Mei lalu selain mengalami jangkitan di paru-paru.
Disebabkan itu, bekas pelajar Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu perlu mendapatkan rawatan intensif di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar, di sini.
Marsha ketika dihubungi media berkata, dia baru dibenarkan keluar dari hospital dan keadaannya semakin pulih serta selesai menjalani proses kuarantin.
"Alhamdulillah keadaan kesihatan saya berada pada tahap pemulihan. Namun, hingga kini walaupun virus Covid-19 dalam badan saya sudah tak aktif, tapi deria bau saya seperti lambat sikit kerana masih belum pulih 100 peratus," katanya.
Klik untuk gambar besar
Mengulas mengenai gejala awal dialaminya, Marsha berkata, dia mengalami gejala sakit dada seperti ada yang menindih, diikuti batuk kering dan semput. Marsha berkata, pengalaman dirawat di hospital kerajaan dan swasta membolehkan dia tahu apa situasi sebenar di hospital ketika ini.
"Saya lihat sendiri keadaan di hospital memang sangat padat dengan pesakit terutamanya di Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya juga kasihan melihat bayi seawal usia 40 hari disahkan positif Covid-19.
"Begitu juga kanak-kanak dan warga emas. Saya turut kasihan melihat petugas barisan hadapan iaitu doktor dan jururawat yang bertugas dengan memakai pekaian perlindungan diri (PPE) bertungkus lumus merawat pesakit setiap hari," ujarnya.
Marsha berkata, dia bersetuju dengan tindakan tepat yang dibuat kerajaan melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) di seluruh negara bermula hari ini hingga 14 Jun ini.
Tambahnya lagi, kita semua harus terus kekal duduk di rumah dan sama-sama berikan kerjasama yang diperlukan serta bersatu memikul tanggungjawab untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini.
Pada 22 Mei lalu, Marsha menerusi hantaran di Instagram berkongsi khabar sedih mengenai bapa mentuanya, Datuk Seri Mohamed Ismail Mohamed Othman yang meninggal dunia akibat Covid-19.
________________________
No comments:
Post a Comment