04 June 2021

"BERLARUTAN BERAPA LAMA... BERAKHIR ATAU TIDAK?" - PANIK PENDAPATAN TERJEJAS, AMENG CEBURI BIDANG LAIN



"Jujurnya, keadaan sekarang sangat mencabar. Saya sudah dalam kategori panik sebab tidak tahu keadaan ini akan berlarutan berapa lama. Adakah ia akan berakhir atau tidak? Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya menerima undangan dalam tempoh empat bulan lalu. Antaranya, menghadiri program dan forum bersama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan banyak lagi.

"Dan saya ingatkan sudah selesa, tetapi kes penularan meningkat semula. Apabila PKP dilaksanakan, dari situ, tawaran pekerjaan mula tiada," itulah luahan penyanyi lagu Sampai Hati, Ameng Spring yang mengakui dirinya mula panik apabila kes penularan jangkitan COVID-19 tidak menampakkan tanda surut dalam masa terdekat, memandangkan pendapatannya hanya bergantung sebagai penyanyi.

Disebabkan itu, vokalis kumpulan Spring itu berkata, dia kini cuba beralih arah daripada dunia nyanyian untuk mencari pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga. Ekoran itu, Ameng berkata, dia mula menceburi diri dalam bidang perniagaan bagi mencari sesuap rezeki.

"Selepas tidak menerima tawaran, saya mula berfikir nak berniaga dalam talian. Saya cuba berniaga susu segera, udang galah beku dan beberapa produk, tetapi tidak menerima maklum balas memberangsangkan. Disebabkan itu, saya berhenti berniaga. Kini, saya mula mencari jalan lain. Antara bidang yang cuba diceburi termasuklah mengambil 'tender' dan menjadi pembekal untuk syarikat besar. Saya ada memohon menjadi pembekal t'shirt untuk pelatih, tetapi masih dalam proses," katanya.

Dalam masa sama, Ameng berkata, dia juga berminat untuk mencuba menceburi bidang perniagaan makanan dan kini, sedang mengintai peluang. Tambah Ameng, dia hanya bergantung pada duit simpanannya, buat masa ini. Bagaimanapun, seperti bukit, lama-lama ditarah, pasti akan rata.

"Saya rasa itulah jalan paling selamat. Selain berniaga makanan, saya menjadi pembekal barangan basah seperti ikan, udang dan sebagainya yang boleh menjana pendapatan baik dalam tempoh ini. Ini kerana jika mahu nak berniaga produk pun, ramai sudah berniaga, jadi siapa nak jadi pembeli.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, sebelum pandemik COVID-19, saya ada menerima banyak tawaran menjayakan program televisyen seperti Gegar Vaganza dan projek besar seperti Konsert Tiga Suara, jadi adalah sedikit simpanan. Saya bersyukur masih boleh bertahan disebabkan sentiasa beringat mahu menyimpan. Saya sudah mengamalkan sikap berjimat cermat sebelum pandemik lagi. Selagi boleh bertahan, saya bertahan. Mujurlah, saya dan keluarga mengamalkan hidup bersederhana," jelas Ameng.

Terbaharu, pelantun lagu 'sampai Hati', 'Bourgenvilla' dan 'Butakah Cinta' itu ada tampil dengan lagu 'Aidilfitri Yang Ku Rindu'. Lagu sempena Aidilfitri itu dikatakan bingkisan paling berharga buat peminat yang sentiasa menanti kemunculannya.

"Tidak menafikan, tempoh promosi untuk lagu raya agak terbatas memandangkan ia hanya diputarkan pada musim perayaan. Bagaimanapun saya yakin lagu Aidilfitri Yang Ku Rindu bakal bertahan, seterusnya menjadi pilihan peminat setiap kali lebaran menjelma. 'Aidilfitri Yang Ku Rindu' mempunyai nilai sentimental tersendiri.

"Saya percaya ia mampu merentas sempadan masa untuk terus menjadi pilihan peminat pada musim perayaan. Saya berharap pencinta industri muzik bersikap lebih terbuka dan terus memberikan sokongan terhadap karya terbaharu, meskipun lagu raya lebih mendapat tempat kerana sudah sebati pada pendengaran ramai," ceritanya.

Sebagai pengkarya, katanya, dia akan sentiasa mencuba dan menghasilkan lagu untuk terus memajukan industri muzik: "Secara peribadi, saya tidak terlalu mengharapkan penerimaan luar biasa, tetapi saya percaya sudah memberikan yang terbaik seperti yang dimahukan peminat," katanya yang mula mencipta nama dengan menganggotai kumpulan Spring dan menghasilkan album pertama pada 1991.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: