07 June 2021

IBU BEBAS COVID-19 TAHAP 5 - TASHA MANSHAHAR LUAH RASA SYUKUR



"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur apabila ibu sudah kembali pulih selepas dimasukkan ICU akibat jangkitan di paru-paru dan kini dia berada di rumah bersama kami sekeluarga. Terima kasih Ya Allah kerana pilih kami dan berikan kami peluang ini.

"Terima kasih juga kepada semua doktor dan jururawat barisan hadapan di Hospital Serdang kerana buat yang terbaik. Saya juga sentiasa mendoakan ketabahan buat semua waris dan kesembuhan buat #covidfighters yang sedang bertarung.

Kita belum menang tetapi kita pasti menang," kata penyanyi Tasha Manshahar yang meluahkan rasa syukur apabila ibunya iaitu Herina Wong Abdullah sudah dibenarkan pulang ke rumah dan bebas dari Covid-19 selepas 'dikomakan' dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Serdang sejak tiga minggu lalu.

Tasha, 29, berkata, selama 12 hari menerima rawatan di ICU, ibunya beransur pulih dan dipindahkan pula ke wad biasa. Malah, berkat doa yang tidak putus Tasha dan keluarga termasuk orang ramai, ibu dan bapanya, Mohd Manshahar Abdul Jalil yang turut positif wabak itu kini sudah sembuh.

Klik untuk gambar besar



Tasha menerusi video berdurasi enam minat yang dimuatkan di laman Instagram berkongsi rentetan kisah duka dilalui kedua ibu bapanya termasuk menjalani kuarantin di lokasi berbeza.

Bagaimanapun, bapa Tasha yang mulanya menjalani kuarantin kendiri di rumah, kemudiannya dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di MAEPS, Serdang untuk rawatan intensif sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut Tasha, sepanjang ibu dan bapanya dirawat akibat Covid-19, dia bersama adik-beradik lain tidak putus membaca Yasin dan menunaikan solat hajat memohon kesembuhan daripada Allah buat kedua orang tuanya.



Katanya, mereka sekeluarga juga tidak pernah berhenti memberi kata-kata positif dan semangat ibunya untuk terus berjuang melawan virus itu kerana yakin ibu memiliki sifat cekal hati yang tinggi serta kami semua juga reda menerima ujian ini.

Terdahulu, bapa Tasha yang juga Ketua Jurulatih Olahraga mula menunjukkan gejala pada 10 Mei lalu dan menjalani ujian calitan pada 15 Mei. Turut dijangkiti positif Covid-19 ialah ibu dan adik lelaki Tasha.

Sehubungan itu, Tasha yang kini sudah meninggalkan kerjaya nyanyian dan bertugas sebagai guru, mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Raqib Majid pada 8 September 2018 lalu. Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Muammar Rafiqi yang kini berusia dua tahun.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: