12 June 2021

KEPUTUSAN SPM - LIZA HANIM BERSYUKUR, KAGUM DENGAN ANAK WALAUPUN BERDEPAN PELBAGAI CABARAN



Semua sedia maklum pada 10 Jun lalu, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 telah pun diumumkan. Penyanyi Liza Hanim meluahkan rasa syukur dengan pencapaian anak sulungnya, Marsya Qistina dalam SPM.

Sebagai ibu, Liza mengakui, kagum dengan kejayaan anaknya itu walaupun menyedari terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran ketika menghadapi peperiksaan SPM.

"Semua orang tahu bagaimana sukarnya situasi dihadapi pelajar SPM, tahun lalu yang terpaksa belajar sendiri kerana sekolah ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama.

Klik untuk gambar besar



"Saya melihat sendiri bagaimana Marsya berjuang untuk menyesuaikan diri belajar dalam keadaan seperti ini. Alhamdulillah, segala penat lelah dan kesukaran dihadapi terbayar dengan keputusan yang diperolehnya," katanya.

Disebabkan situasi itu juga, Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim memaklumkan, dia dan suaminya, Mohamed Shahrin Shamsudin atau Shah tidak pernah memberi tekanan kepada Marsya dari segi pelajaran kerana tidak mahu tindakan itu menjejaskan emosi.



"Kami tetap menggalakkan Marsya belajar dan mengingatkannya mengenai tanggungjawabnya. Tetapi, tidakkah sampai memaksa atau meletakkan harapan terlalu tinggi untuknya berjaya hingga memberi tekanan," ujar penyanyi bersuara lunak itu.

Agak keberatan mendedahkan keputusan anaknya itu, penyanyi yang popular dengan lagu 'Gelisah Mimpi' itu bagaimanapun memberitahu, keputusan SPM itu boleh melayakkan Marsya untuk menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi.

"Walaupun mempunyai kecenderungan dalam bidang seni, tetapi Marsya ada memberitahu yang dia mahu lebih fokus pada akademik iaitu untuk mengikuti jurusan psikologi. Apa sahaja bidang yang Marsya minat, sebagai ibu bapa, kami tetap bagi sokongan kepadanya," tambah penyanyi berusia 41 tahun ini.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: