10 June 2021

MEDIA SOSIAL - ZYNAKAL MAHU 'BEREHAT' GUNA



"Saya akan menutup telefon selama lima hingga enam bulan. Dalam tempoh ini, saya mahu menjauhkan diri saya daripada penggunaan teknologi termasuklah sosial media. Pada masa sama, saya mahu memberi fokus kepada penjagaan kesihatan diri sendiri, ubat-ubatan seperti dinasihatkan doktor.

"Saya juga mahu menulis lagu dan banyakkan membaca," itulah kata penyanyi lagu 'Sakit', Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli, 22, yang membuat keputusan mengambil tempoh 'berehat' daripada menggunakan teknologi dan sosial media.

Zynakal berkata, keputusan itu diambil ekoran mahu mengutamakan kesihatan mental dan fizikalnya. Tambah Zynakal, keputusan itu demi kebaikan dirinya.

Klik untuk gambar besar



Meskipun begitu, penyanyi yang juga popular menerusi lagu 'Terbang' itu berkata, mereka yang berdepan masalah kesihatan mental mempunyai kesan yang berbeza.

"Kesan sakit ini kepada setiap orang tidak sama, jadi setiap orang ada cara tersendiri untuk merawatnya," katanya yang pernah menjalani rawatan dan pemulihan untuk masalah Bipolar Mania pada 2019.

Zynakal baru-baru ini telah berhadapan kecaman netizen selepas meninggalkan komen seperti menyindir budaya dan adat Sarawak pada hantaran rakannya yang juga penyanyi rap terkenal, Yonnyboii.



Disebabkan itu, Zynakal berkata, dia tidak akan mengulangi kesilapan sama dan akan lebih berhati-hati dalam setiap komen yang ditinggalkan.

"Saya serik untuk tinggalkan komen sebegitu walaupun bukan niat nak mempersendakan adat atau budaya orang lain. Selepas ini, saya akan lebih berhati-hati untuk meninggalkan komen. Tetapi, Alhamdulillah, kali ini keadaan saya okay sahaja apabila dikecam netizen," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Zynakal yang juga anak saudara kepada penyanyi, Zamani kini dalam proses untuk menyiapkan albumnya. Katanya, album berkenan sudah hampir 70 peratus siap. Ia akan memuatkan 12 lagu termasuk dua lagu yang pernah keluar sebelum ini.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: