17 June 2021

BERHIJRAH KE BALI DEMI PENDIDIKAN & MASA DEPAN ANAK-ANAK - NOURUL KESAL DIKECAM



Penyanyi Nourul Wahab Depp sebelum ini memaklumkan dia sekeluarga bakal berhijrah ke luar negara, namun tidak menyatakan negara mana dituju mereka sehingga ramai yang tertanya-tanya.

Namun terkini, teka-teki lokasi yang dipilih oleh Nourul untuk memulakan kehidupan baharunya bersama keluarga akhirnya terjawab apabila mendedahkan bakal berhijrah ke Bali, Indonesia pada pertengahan Julai depan.

Pendedahan yang dibuat ketika menjadi tetamu undangan dalam program Punchline DAC baru-baru ini itu sekali gus menepis spekulasi yang mengatakan bahawa dia bakal berpindah ke negara asal suaminya, Perancis.

Bagaimanapun, perkongsian Nourul berhubung akan memulakan kehidupan barunya bersama keluarga di Bali telah menerima kecaman teruk daripada netizen. Nourul berkata, dia berasa kesal dengan kecaman yang diterimanya.

"Saya nak pindah tak pakai duit orang pun. Saya hanya buat hal sendiri tapi dikecam seperti sudah menyusahkan orang lain. Saya jadi sangat sedih apabila dihina dan dikecam teruk. Saya tak kacau hidup orang atau minta tolong mereka kemaskan barang saya pun.

"Apabila jadi begini saya dah tak mahu keluarkan apa-apa kenyataan selepas ini. Bila saya pergi nanti, saya akan pergi saja. Tengok saja perkembangan di Instagram.

Klik untuk gambar besar



"Walaupun saya tidak membaca komen-komen yang diberikan, tapi ada yang akan sampaikan. Sudahlah saya kena hadap pelbagai cabaran untuk proses berhijrah ini dan kelam kabut uruskan hal-hal lain, tapi bila dengar komen-komen negatif saya terus rasa tak nak kongsi lagi," katanya.

Menurut Nourul, dia memahami perasaan yang perlu dilalui masyarakat di sebalik pandemik Covid-19 yang melanda ketika ini hingga setiap perkongsiannya menimbulkan rasa kurang senang atau tidak seronok kepada mereka.

Nourul berkata, selepas permohonan visa diluluskan serta menunggu suntikan vaksin kedua, dia dan seluruh ahli keluarganya akan berpindah ke Bali untuk memulakan kehidupan baru.

"Penghijrahan ini untuk pendidikan dan masa depan anak-anak. Kami berhasrat untuk masukkan mereka ke sebuah sekolah di sana yang sangat bagus dan berkonsepkan kemahiran.



"Anak-anak akan mulakan sesi persekolahan pada bulan Ogos ini. Lagipun kami sudah membuat bayaran penuh, jadi perlu ke Bali bulan depan dan lalui proses kuarantin dan prosedur lain.

"Sebenarnya salah satu sebab kami ingin berhijrah ke Bali sebab suami sudah bersara dan tiada komitmen kerja. Selain itu, kami mahu anak-anak menerima pendidikan yang terbaik kerana sekolah yang kami daftarkan antara yang bagus," ujarnya.

Menurut pelantun lagu 'Kerana Terluka' itu, penghijrahan tersebut awalnya dirancang pada tahun lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara, hasrat tersebut terpaksa ditangguhkan seketika.

Kata penyanyi berusia 44 tahun itu lagi, memang impian suaminya untuk berhijrah ke Bali kerana sebelum ini dia pernah menetap selama dua tahun di sana.



Walaupun bakal menetap di sana dalam tempoh yang lama, Nourul berkata, dia tidak akan meninggalkan kerjaya seni di tanah air dan akan sentiasa berulang-alik antara Bali ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan.

"Saya tetap akan balik ke sini (Kuala Lumpur) kerana bisnes ada sini termasuk untuk memenuhi undangan persembahan. Bukan jauh pun. InsyaAllah saya masih dan tetap orang yang sama. Terima kasih untuk semua yang mendoakan saya dan keluarga," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Nourul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab mengakui berasa sedikit beremosi dan sedih apabila menerima hantaran mesej daripada peminatnya.

"Jangan bimbang, tiada apa pun yang berubah. Peminat dan pengikut di media sosial saya tetap di hati. Ada umur panjang, kita tetap berjumpa," ujarnya.

Untuk makluman, Nourul dan suami, Eric Daniel Depp berkahwin pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2. Sementera menerusi perkahwinan terdahulu bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 23.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: