02 June 2021

BERDOA 'SEJARAH HITAM' TAK BERULANG LAGI - FARID KAMIL SEDIA BERSARA KALAU TIDAK DIPERLUKAN LAGI



"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur selepas pengalaman-pengalaman yang saya alami, secara tidak langsung memberi kematangan dalam hidup saya. Ia juga memberi satu rahmat berbeza yang tidak pernah saya rasa sebelum ini. Saya tidak pernah rasa takut untuk hidup. Saya tidak pernah rasa malu kerana saya tahu di mana saya berdiri.

"Kebenaran juga pasti akan wujud," kata pelakon Farid Kamil, 40, yang sebelum ini disabitkan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah serta mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas dua tahun lalu menyerahkan perjalanan karier seninya pada ketentuan Allah.

Farid berkata, Allah lebih mengetahui baik buruk dan apa seterusnya yang akan terjadi kepadanya. Farid yang dijatuhi hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 2 Jun tahun lalu itu mengakui tidak tertekan dengan apa yang berlaku.

Klik untuk gambar besar



"Saya tidak nampak apa-apa masalah kerana kalau saya keluar ke mana-mana pun masyarakat tetap melayan saya seperti biasa dan seperti dulu. Namun, saya juga bersedia untuk bersara pada bila-bila masa.

"Kalau tidak diperlukan lagi, apakan daya kerana sebagai seorang pelakon modal saya adalah kepada instrumen kita iaitu tubuh badan kita. Sekiranya tubuh badan tak mampu beri alunan atau getaran yang sama lagi, bermakna di situlah titik yang menjadi pemisah saya bersara ataupun tidak," jelasnya.

Menurutnya, jika terjadi ia bukanlah kerana tekanan masyarakat tetapi kerana dia sudah membintangi 60 filem dan hampir menyamai jumlah lakonan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.


"Lagi enam filem saya akan menyamai P Ramlee. Sebagai hero filem di Malaysia, sejauh mana dia mampu bertahan adalah berbalik kepada rezeki masing-masing. Saya seorang yang reda dan terima ketentuan apa yang terjadi kepada saya serta apa yang akan terjadi selepas ini," ujar Farid lagi.

Mengulas kontroversi sebelum ini, Farid berkata, dia sentiasa berdoa supaya ia tidak akan berulang lagi. "Sudah tentu saya mengharapkan tidak berlaku lagi. Saya juga sentiasa berdoa agar kehidupan saya dijauhkan daripada orang-orang yang sebegitu lagi kerana rambut sama hitam hati lain-lain.

"Susah nak cakap tapi pengalaman ini sudah mengajar saya erti kehidupan yang sebenar," kata suami kepada pelakon dan penyanyi Diana Danielle dan bapa sepasang cahaya mata, Muhammad atau lebih mesra disapa Che Mad dan Nur Aurora.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: