07 June 2021

"SOAL NAMA HENDAK JADI BERBALAH, LECEHLAH" - AWIE AKUI TAK PERNAH TUNTUT SESEN PUN



Isu tanda dagang atau 'trademark' yang kini sedang hangat diperkatakan, vokalis Wings iaitu Datuk Awie menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi bahan perbalahan terutama bagi kumpulan muzik yang sudah lama bertapak.

Ini kerana kata Awie, perselisihan mengenai isu tanda dagang dianggap remeh apatah lagi bagi kumpulan yang sudah lama bersahabat dan melalui zaman 'jatuh bangun' bersama.

"Soal nama (kumpulan) hendak berbalah, lecehlah. Contohnya, saya beri nama Wings tetapi saya pernah keluar dari Wings. Namun, saya izinkan mereka (ahli kumpulan yang lain) menggunakan nama Wings.

"Tiada masalah bagi saya... Buatlah apa-apa pun. Saya tidak pernah tuntut sesen pun sebab masing-masing mahu mencari makan, hendak menjaga isteri dan anak-anak.... Jadi, jangan remehkan soal itu.

"Sedangkan kita pernah duduk sekali dan makan mi segera sama-sama. Susah dan senang bersama-sama. Jadi, perkara kecil, tidak perlu diperbesarkan," katanya.

Isu penggunaan jenama Search timbul apabila Amy, Nasir Daud dan waris Allahyarham Yazit Ahmad mempertikai tindakan dua lagi anggota kumpulan berkenaan, Noordin Mohd Taib atau Din dan Hamzah Mohd Taib (Kid) bekerjasama dengan Syarikat Home Of Champions (HOC) menjual pelbagai barangan dan aksesori seperti kemeja-T dan kasut, menggunakan jenama Search.

Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman berkata, pendaftaran tanda dagang atau 'trademark' atas jenama atau nama kumpulan memberi banyak kebaikan.

Tambah Awie, pendaftaran cap dagangan dapat menjaga harta intelek kumpulan pemuzik agar tiada pihak meniru atau menggunakan nama atau logo sesebuah kumpulan.

Klik untuk gambar besar



"Tetapi kita perlu tahu siapa dalam kumpulan atau badan tertentu yang mendaftarkan cap dagangan itu. Adakah dia meletakkan jenama itu di bawah syarikat atau individu. Perkara ini perlu melalui persetujuan, jika tidak, ia boleh mendatangkan perbalahan," ujarnya.

Awie menasihatkan pemuzik tempatan berhati-hati dalam soal pendaftaran tanda dagang atau 'trademark': "Seelok-eloknya biarlah nama itu didaftarkan di bawah MyIPO, apatah lagi sekarang prosesnya mudah.

"Jika sehati sejiwa, letakkan atas nama syarikat. Kalau kata si polan itu yang mewujudkan (mencipta) nama itu, dia ada hak ke atas nama berkenaan.

"Namun, sebaik-baiknya biarlah ada persetujuan ramai agar kita dapat selamatkan kumpulan kita jika sayangkan band dan sahabat kita," tambah Awie lagi.

Ditanya apakah Wings sudah memiliki tanda dagang, Awie menjelaskan, Wings adalah nama umum yang sudah banyak digunakan sehingga sukar untuk didaftarkan.

"Namun, kami cuba mendaftarkan logo Wings. Sekarang masih dalam proses mempatenkan logo berkenaan. Logo boleh didaftarkan, nama Wings tidak boleh kerana sudah banyak digunakan. Kami pernah cuba tetapi sukar," akhirinya.

Untuk makluman, Awie bersama Wings sejak diasaskan pada 1985. Namun, beliau meninggalkan kumpulan berkenaan pada 1993 dan kembali semula pada 2002.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: