25 June 2021

SUAMI ELYANA: "UNGKAPAN 'BIAR BONDA PERGI DULU DARI AYAH' MENJENTIK EMOSI SAYA"



"Sejujurnya, saya tidak sangka Elyana boleh jadi sekuat ini. Kami duduk sebumbung, setiap hari saya melihatnya berjuang melawan kesakitan. Ada masa, saya juga sering tertanya-tanya bagaimana isteri boleh jadi sekuat ini. Semangatnya melawan sakit sangat tebal. Namun, ada juga Elyana lemah seperti pesakit kanser lain. Ada ketika, dia jadi 'down'.

"Cuma mengenalinya, Elyana jenis yang tidak mahu orang lain tahu dirinya sedang berperang dengan kesakitan. Biar sakit ditanggungnya sendiri," ujar suami kepada penyanyi Elyana iaitu Khairul Anuar Husin.

Khairul menyifatkan isterinya seorang wanita yang sangat kuat. Katanya lagi, Elyana juga tidak mahu orang lain tahu dia berdepan dengan kesakitan dan mahu menanggungnya sendiri.

Sementara itu, Khairul memberitahu perkongsian isterinya yang masih berada di hospital bagi menjalani rawatan radioterapi itu sempena hari bapa ternyata cukup menyentuh hatinya.

Klik untuk gambar besar



Tambahnya, dia tidak mahu Elyana bercakap tentang siapa yang akan pergi dahulu apatah lagi melihat isterinya itu tidak pernah berputus asa melawan penyakit kanser limfoma sejak 10 tahun lalu.

"Tentunya, ungkapan 'biar Bonda pergi dulu dari ayah' menjentik emosi saya. Memang sedih dan terusik. Cuma, kalau boleh saya tidak mahu Elyana cakap siapa pergi dahulu.

"Soal ajal maut, semuanya di tangan Tuhan. Kita tidak mampu menjangka siapa terlebih dahulu dijemput Ilahi. Apa yang penting, saya mahu Elyana terus berjuang melawan kanser limfoma," tuturnya.

Sebelum ini, Elyana membuat pendedahan menghidap kanser limfoma tahap empat pada 2017. Elyana dan Khairul Anuar mendirikan rumah tangga pada 2010 dan dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: