04 July 2021

6 HARI DI NICU - FITRI HARIS BERSYUKUR 'BILAL HABIBI' SUDAH DIBENARKAN PULANG



"Alhamdulillah, baby dah dibenarkan pulang pada tengahari Sabtu. Syukur... keadaan dia dan isteri saya pun semakin baik. Saya memilih nama anak kami, 'Bilal Habibi' yang membawa maksud 'Bilal Kekasihku'.

"Rasa sebak pula nak perkenalkan anak sulung kami. Bukan sebak sebab sedih tapi terlalu bersyukur dengan anugerah Allah kurniakan. Pilihan nama ini ilham dari-Nya, ketika itu saya bertugas menjadi seorang mutawwif membawa para jemaah mengenali kisah sirah para Anbiya'.

"Kisah Bilal sangat meruntun hati saya dan cinta Bilal kepada baginda Muhammad S.A.W sangatlah agung dan suci," kata penyanyi Dr Fitri Haris yang akhirnya meluahkan rasa syukur apabila bayinya sudah dibenarkan pulang pada Sabtu, selepas enam hari dipantau di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Dalam masa sama, Fitri, 36, turut berkongsi keadaan isterinya iaitu Fazilah Omar yang kini dalam keadaan baik selepas mengalami masalah asma yang teruk ketika melahirkan bayi mereka. Bukan itu sahaja, Fitri juga mendedahkan nama bayi sulung mereka iaitu 'Bilal Habibi' yang diambil sempena kisah sirah para Anbiya'.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, penyanyi nasyid itu berkongsi beberapa foto wajah cahaya mata lelakinya menerusi laman Instagram miliknya. Isteri kepada Fitri selamat melahirkan bayi lelaki mereka pada 28 Jun lalu kira-kira pukul 9.07 di Hospital Pakar An-Nur, Bangi, Selangor.

Dalam pada itu, juara Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua ini juga mendoakan agar puteranya itu dapat menyebarkan ilmu agama Islam apabila sudah dewasa kelak.

"Jika anak saya dikurniakan bakat suara seperti saya, saya doakan agar dia dapat menggunakan suara sehebat Bilal melaungkan azan dan menyebarkan perintah Allah melalui suara yang diberikan.



"Saya pohon doa agar Bilal terus kuat dalam agama Allah yang suci. Saya dan isteri juga berdoa agar diberi kekuatan bukan sahaja menjaga dan membesarkan tetapi mendidik dengan penuh kesabaran mengenal agama Allah," ujarnya.

Sebelum ini, Fitri memaklumkan isterinya terpaksa menjalani pembedahan dan melahirkan bayi awal dari tarikh sepatutnya disebabkan berdepan penyakit asma yang teruk.

Fitri dan isteri juga berdepan dengan dugaan apabila bayi mereka menghadapi masalah pernafasan selepas dilahirkan dan kini dipantau di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).








         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: